JPM nafi keluar perintah larang individu bawah 16 tahun guna telefon bimbit

JPM nafi keluar perintah larang individu bawah 16 tahun guna telefon bimbit

Jabatan Perdana Menteri seru orang ramai memastikan kesahihan maklumat sebelum dikongsi kepada pengguna lain untuk elak kekeliruan.

Australia Social Media Bill
Jabatan Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan larangan penggunaan telefon pintar bagi individu bawah 16 tahun. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan mengeluarkan dokumen yang tular di WhatsApp konon berkaitan perintah larangan penggunaan telefon pintar bagi individu bawah umur 16 tahun.

“Dokumen tersebut adalah palsu. Kami tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara itu.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa beretika dan bertanggungjawab serta memastikan kesahihan maklumat sebelum dikongsikan kepada pengguna lain untuk mengelak sebarang kekeliruan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan, penyebaran berita atau maklumat palsu adalah kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Pada 17 Okt lalu, Jemaah Menteri dilaporkan mencadangkan tiga langkah segera bagi menangani isu keselamatan di sekolah termasuk kes buli dan jenayah keganasan membabitkan pelajar yang semakin membimbangkan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata cadangan itu termasuk melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar berusia bawah 16 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan semua platform media sosial bakal diwajibkan melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna (electronic know your customer atau eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.

Bagaimanapun, had umur minimum pengguna media sosial dinaikkan kepada 16 tahun selepas perbincangan Jemaah Menteri, dan akan dikuatkuasakan melalui pendaftaran berdasarkan dokumen pengenalan diri rasmi seperti MyKad, menurut jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.