
Dalam catatan di Facebook semalam, ketua pegawai eksekutif Capital A itu berkata beliau sudah menutup akaun Threads miliknya, dan akan menutup akaun Facebook hari ini, diikuti Instagram.
“Saya sukakan media sosial dan ia menjadi platform yang hebat untuk saya.
“(Tetapi) saya telah menjadi mangsa kepada begitu banyak penipuan palsu, dan sebenarnya Meta boleh menghentikan semua ini,” katanya merujuk kepada syarikat induk yang memiliki ketiga-tiga platform itu.
Fernandes berkata, beliau kecewa dengan penularan berita palsu di platform Meta.
“Kita bercakap mengenai penipuan di beberapa bahagian Asia, tetapi ia boleh dicegah dengan jumlah teknologi yang besar yang mereka miliki,” katanya.
Beliau berkata, penutupan akaunnya tiada kaitan dengan komen negatif, sebaliknya ia memberi inspirasi kepadanya untuk melakukan lebih baik.
“Ia cukup menyeronokkan dan saya menghargai semua sokongan, baik komen positif mahupun negatif. Saya tidak menutup (akaun) disebabkan komen negatif. Komen begitu juga memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Katanya, beliau mahu fokus kepada ‘perkara penting’ pada ‘peringkat akhir’ kehidupannya.