
Pengarah Urusan FMT Media Sdn Bhd Azeem Abu Bakar berkata, imej yang dipercayai dijana kecerdasan buatan (AI) itu dikesan tersebar luas di media sosial.
Azeem berkata, imej palsu itu memberikan gambaran tidak benar mengenai jenama FMT dan merupakan penyalahgunaan tera air syarikat.
“Kami ingin memberi jaminan kepada pembaca bahawa imej itu bukan dihasilkan FMT dan tiada kaitan dengan organisasi kami,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemilik akaun media sosial terbabit telah diminta memadam tera air pada imej yang diterbitkan itu dengan serta-merta.
Azeem turut menyeru warganet agar lebih berwaspada ketika menyiarkan sebarang kandungan di media sosial dan mengesahkan ketulenan kandungan serta imej, khususnya janaan AI, sebelum ia diterbitkan.
Imej palsu yang memaparkan Muhyiddin dan Hamzah sedang berentap di gelanggang itu dipercayai merujuk desas-desus perebutan kuasa antara dua tokoh parti itu.