
Semua suspek lelaki berusia 25 hingga 29 tahun itu ditahan menerusi empat serbuan berasingan bermula 1.40 petang Jumaat hingga 12.30 pagi Sabtu lalu, dengan masing-masing dua ditahan di Puchong, Selangor dan Johor Bahru, Johor.
Tangkapan dan rampasan itu hasil siasatan serta risikan bersama antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN Selangor serta Johor. Semua dadah ditemui disimpan dalam dua kondominium di sekitar Selangor.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket itu dipercayai menyeludup dadah dari negara jiran melalui jalan laut di utara tanah air sebelum transit di Lembah Klang.
“Dadah berkenaan kemudian dibawa ke Johor dan akan diseludup keluar menggunakan kapal laut ke negara jiran, terutama ke Indonesia.
“Sindiket dikesan aktif sejak Januari lalu dan bekalan dadah turut diedarkan untuk pasaran tempatan di Selangor dan Johor,” katanya dipetik Berita Harian dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Ayob Khan berkata, polis turut menyita pelbagai aset sindiket, antaranya tiga kenderaan bernilai RM168,000 dan wang tunai RM5,000, dengan nilai keseluruhan dan sitaan harta berjumlah RM10.5 juta.
Siasatan mendapati dalang utama sindiket ini adalah jurulatih renang berusia 25 tahun yang ditahan bersama suspek kedua – penganggur berusia 29 tahun dalam serbuan di Puchong.
“Semakan mendapati dalang utama tiada rekod jenayah, namun tiga lagi suspek mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah.
“Keputusan ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek didapati negatif dan mereka kini direman lima hingga tujuh hari bermula Sabtu lalu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan keseluruhan 287kg dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan 1.43 juta penagih.