Kastam rampas 53 kontena besi, skrap aluminium lebih RM9 juta

Kastam rampas 53 kontena besi, skrap aluminium lebih RM9 juta

Ia dikesan cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara sebelum dirampas pihak berkuasa.

Wan Norizan Wan Daud
Pengarah Kastam Kuala Lumpur Wan Norizan Wan Daud berkata siasatan pihaknya mendapati kontena terbabit dipercayai melibatkan sebuah syarikat dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur berjaya merampas 53 kontena berisi besi dan skrap aluminium bernilai lebih RM9 juta selepas mengagalkan cubaan menyeludupnya masuk melalui Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara.

Rampasan dilakukan dalam operasi dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaannya bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Sirim Berhad antara 28 Ogos hingga 5 September lalu.

Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud, berkata pemeriksaan mendapati 35 kontena mengandungi struktur keluli untuk kegunaan industri pembinaan manakala 18 kontena lagi mengandungi skrap aluminium dan logam.

“Jumlah berat keseluruhan muatan ialah 956,686 kg dengan nilai dianggarkan RM9,028,888, termasuk duti dan cukai import.

“Pengimportan besi jenis steel structure bagi kegunaan industri pembinaan memerlukan Sijil Perakuan (COA) daripada CIDB, manakala pengimportan skrap aluminium serta logam memerlukan kelulusan SIRIM.

“Siasatan awal mendapati kontena terbabit dipercayai melibatkan sebuah syarikat dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang akhbar hari ini, menurut Sinar Harian.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Kanan Sektor Pendaftaran & Akreditasi CIDB, Suhaimi Mansor, berkata kemasukan besi bagi tujuan industri tanpa kelulusan CIDB memberi risiko dari aspek kualiti dan keselamatan.

Katanya, risiko terbabit boleh membahayakan nyawa orang awam.

“Kualitinya dibimbangi berada di bawah standard yang dibenarkan dan boleh membahayakan orang awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.