Polis gagal 26 cubaan pengganas ada kaitan IS lancar serangan sejak 2016

Polis gagal 26 cubaan pengganas ada kaitan IS lancar serangan sejak 2016

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata semua rancangan serangan itu di fasa akhir ketika dikesan polis.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata banyak tangkapan dibuat dalam negara, khasnya selepas serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei 2024. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menggagalkan 26 cubaan pengganas ada kaitan kumpulan IS melancarkan serangan di Malaysia sejak 2016 hingga tahun ini, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurutnya, siasatan mendapati semua rancangan serangan itu sudah di fasa akhir ketika dikesan polis.

“Ada yang sudah menyiapkan bahan letupan, bom tangan malah ada juga yang sudah bersiap dengan senjata api.

“Namun, kita beruntung kerana ada pasukan E8 Cawangan Khas polis yang bertindak dengan cepat,” katanya menurut Harian Metro selepas sesi wacana bersama Yayasan Pembangunan Buku Kebangsaan dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di Kuching malam tadi.

Beliau berkata, banyak tangkapan dibuat dalam negara, khasnya selepas serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei 2024.

Malah, katanya, polis baru-baru ini menahan warga asing mempunyai elemen pengganas yang dikenal pasti terbabit kumpulan IS.

Menurutnya, masyarakat menganggap tangkapan itu biasa kerana serangan tidak berlaku dan tidak tahu polis menggagalkan serangan dirancang.

“Kalau kita gagal kesan di peringkat awal, ia akan memberi impak besar kepada masyarakat dan selepas itu barulah mereka tahu bagaimana seriusnya ancaman pengganas di Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.