6 ditahan, rampasan lebih RM22 juta di kilang e-sisa haram

6 ditahan, rampasan lebih RM22 juta di kilang e-sisa haram

Seorang lelaki tempatan, dua warga China dan tiga wanita Myanmar ditahan kerana dipercayai mengendalikan kilang haram itu.

Shahrum Hashim
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am Shahrum Hashim berkata kira-kira 454,000kg sisa elektronik dan sebuah treler membawa 20,000kg sisa elektronik dileraikan antara barangan dirampas dalam serbuan semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa menahan enam individu dan merampas sisa elektronik (e-sisa) bersama pelbagai aset dianggarkan lebih RM22 juta di Juru, Bukit Mertajam.

Serbuan 9 pagi hingga 6 petang semalam itu menyasarkan sebuah kilang di Jalan Bukit Tambun, Juru, selepas tiga minggu pemantauan.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Shahrum Hashim, berkata kilang itu didapati memproses komponen elektronik dan bahan buangan secara haram.

Menurutnya, kira-kira 454,000kg sisa elektronik dalam pelbagai peringkat pemprosesan, wang tunai RM6,147, sebuah treler membawa 20,000kg sisa elektronik dileraikan, lima forklift, sebuah mesin penapisan sisa, 10 mesin pencuci sisa, sebuah mesin extruder dan satu pemampat antara barangan dirampas.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM22,336,167,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan, seorang lelaki China, seorang wanita China dan tiga wanita Myanmar berusia 22 hingga 55 tahun turut ditahan, dengan semuanya dipercayai mengendalikan kilang haram itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18(1A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan denda RM25,000 hingga RM100,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Suspek warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta boleh disebat.

Semua suspek ditahan itu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang.

Shahrum berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi membanteras aktiviti pemprosesan sisa elektronik haram.

Beliau menggesa orang ramai bekerjasama melaporkan sebarang aktiviti haram atau mencurigakan berkaitan kesalahan alam sekitar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.