
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan ketua setiausaha perbendaharaan Kementerian Kewangan dan ketua setiausaha Kementerian Pertahanan yang akan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet setiap bulan.
Katanya, mesyuarat Kabinet hari ini sebulat suara membenarkan projek perolehan LCS diteruskan, selepas mengambil kira dua faktor utama, iaitu LCS adalah aset amat diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 400 vendor terlibat dalam projek itu membabitkan implikasi kewangan lebih RM4 bilion.
Beliau berkata, lebih 100 daripada vendor terbabit adalah syarikat milik rakyat Malaysia dengan 90% ada hubung kait dengan veteran Angkatan Tentera Malaysia.
“LCS sememangnya aset yang amat dimahukan dan diperlukan TLDM, bukan sahaja untuk memenuhi perancangan pemodenan TLDM di bawah Transformasi 15 to 5, malah penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada kita serta menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara.
“Saya percaya keputusan hari ini dapat meningkatkan lagi moral dan semangat anggota TLDM untuk terus berjuang demi kedaulatan tanah air,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama.
Hishammuddin berkata, ada beberapa langkah yang perlu diambil kerajaan, termasuk berunding dengan pihak bank, vendor dan pengeluar peralatan asli (OEM) serta kerajaan Perancis membabitkan reka bentuk dan komitmen kerajaan negara itu.
“Dalam masa sama, agensi lain yang berkaitan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga digesa mempercepatkan peranan masing-masing bagi memastikan setiap proses yang perlu dilalui berjalan lancar.”
Beliau bagaimanapun menegaskan keputusan meneruskan projek LCS tidak bermakna pihak yang terbabit dengan salah laku dalam projek itu akan terlepas begitu sahaja.
“SPRM telah menahan reman dua CEO (ketua pegawai eksekutif) sebelum ini dan SPRM juga digesa mempercepatkan siasatan.
“Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya sambil menambah perincian lanjut bagaimana projek itu diteruskan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
LCS merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan15-to-5 TLDM bagi memperkemas aset angkatan laut negara dan semua enam kapal yang dirancang itu berasaskan rekaan Gowind oleh syarikat Perancis, iaitu Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS).