
Ini susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2025 semalam yang menyifatkan pengurusan itu tidak memuaskan, dengan denda lewat hantar yang tidak dikutip berjumlah RM54.51 juta.
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin memberitahu sidang media di Parlimen hari ini, pihaknya akan fokus kepada siasatan unsur penyelewengan, salah guna kuasa, pembaziran dan ketirisan seperti yang dibangkitkan dalam LKAN.
Beliau berkata, PAC juga akan memanggil wakil Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk menjelaskan tentang sistem e-Jamin.
Menurut LKAN, data sistem pengurusan kenderaan konsesi merekodkan, sehingga 31 Dis 2024, sebanyak 6,028 kenderaan lewat diserahkan antara satu hingga 508 hari, melepasi tempoh 60 hari bekerja.
Namun, sehingga audit dibuat, tiada rekod tuntutan denda dikenakan terhadap syarikat konsesi terbabit.
Laporan itu juga mendedahkan, kerajaan persekutuan terpaksa menanggung kos tambahan RM28.79 juta kerana terus menggunakan kenderaan konsesi yang tamat tempoh pajakan, bukannya diganti baharu mengikut jadual.
Menurut maklum balas Kementerian Kewangan, sebuah jawatankuasa penalti dan jawatankuasa kerja penilaian penalti telah diwujudkan untuk meneliti serta menentukan tuntutan yang akan dikemukakan oleh kementerian terlibat.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, jawatankuasa itu juga bercadang mengadakan lawatan kerja untuk meninjau kemajuan projek kapal tempur pesisir (LCS).
“InsyaAllah, kita juga akan adakan satu lawatan kerja untuk melihat perkembangan kapal LCS dalam sidang ini dan tarikhnya akan kita maklumkan kemudian,” katanya.
Pada Julai, Menteri Pertahanan Khaled Nordin memaklumkan, projek LCS itu ketinggalan jadual dengan kemajuan 72.9% siap, berbanding sasaran 76.1% pada akhir Jun.
Menurutnya, kapal LCS pertama memulakan fasa ujian pada Mei dan akan menjalani ujian laut pada Disember.
Kapal kedua pula akan diserahkan pada April 2027 manakala tiga lagi kapal dijadualkan untuk penyerahan setiap lapan bulan sehingga 2029.