Kota Madani perlu mekanisme pengawasan, kata TI-M

Kota Madani perlu mekanisme pengawasan, kata TI-M

Transparency International Malaysia gesa kerajaan guna pakai 'pakatan integriti' dan pemantau pakar bebas dalam projek RM4 bilion itu.

TI-M berkata Kota Madani ‘sesuai dengan profil perolehan berisiko tinggi’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa “mekanisme pengawasan mantap” ke atas pembinaan Kota Madani untuk menjadi model pembangunan bandar mampan dan inklusif negara.

Walaupun aspirasi kerajaan untuk bandar moden yang mengutamakan rakyat adalah jelas, katanya, tiada projek awam berskala besar harus diteruskan, apatah lagi dipercepatkan tanpa mekanisme pengawasan mantap.

Ia mengulas seruan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 17 Okt lalu supaya pembinaan projek bernilai RM4 bilion di Putrajaya itu disegerakan.

Anwar menggesa Putrajaya Holdings, pemaju induk ibu kota pentadbiran itu memberi perhatian sepenuhnya kepada projek berkenaan.

Presiden TI-M, Raymon Ram, berkata skala dan kerumitan Kota Madani menuntut ketelusan serta akauntabiliti di setiap peringkat dan “tidak digunakan selepas fakta”.

“Tadbir urus mesti proaktif, bukan reaktif,” katanya sambil menambah Akta Perolehan Kerajaan 2025 mencadangkan rangka perundangan seragam untuk menggalakkan ketelusan, persaingan dan akauntabiliti dalam pemerolehan awam.

“Ia memperkenalkan peraturan seragam merentas badan persekutuan, negeri dan berkanun, mengukuhkan pendedahan konflik kepentingan serta memperkenalkan penalti jenayah bagi manipulasi bidaan dan pemindahan kontrak.

“Ia juga mewujudkan tribunal rayuan perolehan untuk mengkaji semula pertikaian perolehan secara bebas.

“Tetapi, walaupun Akta Perolehan Kerajaan 2025 menyediakan asas struktur penting, ia belum mewajibkan pengawasan luaran seperti pemantauan bebas.

“Ini menyebabkan jurang tadbir urus kritikal, khasnya untuk projek berisiko tinggi, bernilai tinggi seperti Kota Madani.”

Menurutnya, pengawasan tidak melambatkan pembangunan, tetapi mengukuhkan hasil dan meningkatkan legitimasi.

Beliau menggesa kerajaan mengguna pakai “pakatan integriti” digabung pemantau pakar bebas (IEM) atau profesional neutral dalam projek itu.

“Bandar Madani sesuai dengan profil perolehan berisiko tinggi: nilai projeknya melebihi RM1 bilion, ia distrukturkan melalui perkongsian awam-swasta dan membawa kepentingan strategik serta awam.

“Untuk pembangunan yang mempunyai kepentingan simbolik dan material, pengawasan masa nyata bukan kemewahan, ia satu keperluan,” katanya dalam kenyataan.

Kota Madani sedang dibangunkan di tanah seluas 41 hektar di Presint 19, Putrajaya, antara Lebuh Wadi Ehsan dan Persiaran Selatan.

Perbandaran itu merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman untuk kira-kira 30,000 penduduk yang dilengkapi kemudahan komuniti, lot komersial dan ruang awam hijau boleh dilalui.

Fasa 1 membabitkan 3,000 unit yang dijangka siap menjelang akhir 2027, dengan keseluruhan projek dijangka siap menjelang 2032.

Disasarkan menjadi hab pintar dan berpaksikan rakyat di bawah agenda Madani, pelan itu termasuk reka bentuk mengutamakan pejalan kaki, sekolah menegak dan pelbagai kemudahan awam bersepadu seperti balai polis dan bomba, kemudahan penjagaan kesihatan, taman serta institusi TVET.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.