
Menurut Zahid, 69, segala perbelanjaan yayasan yang ditubuhkan pada 1997 itu ditanggung olehnya secara peribadi.
“Pada peringkat awal penubuhan (yayasan), sebahagian besar daripada dana Yayasan Akalbudi adalah daripada sumbangan saya sendiri, hasil daripada gaji dan simpanan saya antaranya keuntungan pembelian dan penjualan saham sejak bergiat aktif dalam dunia korporat.
“Hal ini adalah untuk memastikan bahawa Yayasan Akalbudi boleh melaksanakan program amal jariah saya dan boleh menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada individu atau pihak yang memerlukan dan juga dalam pembinaan-pembinaan masjid, maahad dan sebagainya,” katanya yang merupakan seorang daripada pemegang amanah Yayasan Akalbudi sejak 1997 sehingga kini.
Zahid berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama prosiding membela diri terhadap 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
“Bagi tujuan ini, saya menegaskan bahawa Yayasan Akalbudi tidak pernah sama sekali meminta tetapi hanya mempromosikan kepada mana-mana individu mahupun syarikat bahawa mereka boleh menyumbang dana kepada Yayasan Akalbudi.
“Yayasan Akalbudi tidak pernah sama sekali menyekat dan menghalang mana-mana pihak daripada menyumbang kepada Yayasan Akalbudi,” kata Zahid ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Ahmad Zaidi Zainal.
Menceritakan mengenai penubuhan Yayasan Akalbudi, Zahid berkata, penubuhan yayasan itu adalah daripada cetusan ideanya sendiri ketika berkhidmat dalam dunia korporat dan menjadi pengerusi Bank Simpanan Nasional (1994-1998) serta ketua pegawai eksekutif di Kretam Holding Berhad (1994-1998), Tekala Corporation Berhad (1995-1998), Ramatex Berhad (1995-1999) dan Seng Hup Berhad (1996-1998).
“Saya juga menyatakan bahawa Yayasan Akalbudi ini adalah suatu amanat daripada ayahanda dan ibunda saya yang saya pegang sehingga ke hari ini,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, objektif penubuhan yayasan itu adalah untuk melaksanakan sedekah, wakaf, infaq dan aktiviti amal jariah bagi tujuan agama serta kebajikan untuk semua golongan yang memerlukan dan tidak hanya tertumpu kepada penduduk kawasan Parlimen itu sahaja.
Zahid mengesahkan bahawa sejak penubuhan Yayasan Akalbudi, semua pemegang amanah yayasan itu tidak pernah membantah berkenaan dana-dana yang disalurkan untuk tujuan pembinaan masjid atau maahad, rumah anak yatim, surau dan sebagainya.
Selain itu, Zahid berkata, pendapatannya semasa dalam kerajaan adalah lebih kurang RM50,000 sebulan dan simpanannya ketika ini sebanyak RM2 juta lebih dalam akaun simpanan di Bank Islam cawangan KL Sentral.
Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Zahid membela diri terhadap semua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Perbicaraan berlangsung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.