Saman USD1.18 bilion: Mahkamah arah Najib fail pernyataan pembelaan

Saman USD1.18 bilion: Mahkamah arah Najib fail pernyataan pembelaan

Bekas Perdana Menteri itu didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu, selain melakukan penyelewengan.

Mahkamah mengarahkan Najib Razak memfailkan pernyataan pembelaan dalam bahasa Inggeris hari ini dan bahasa Melayu pada 4 April. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengarahkan Najib Razak memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman USD1.18 bilion yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri itu.

Peguam Lisa Yong yang mewakili SRC International ketika dihubungi pemberita berkata, semasa pengurusan kes dalam talian di hadapan hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin, mahkamah mengarahkan Najib memfailkan pernyataan pembelaan dalam bahasa Inggeris hari ini, manakala bahasa Melayu pada 4 April.

“Mahkamah juga mengarahkan plaintif (SRC) memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 13 Mei,” katanya dengan menambah bahawa pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 18 Mei.

Pada 7 Mei tahun lalu, SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman terhadap Najib serta bekas pengarah syarikat itu, Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Ismee Ismail.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan nama keenam-enam nama individu itu daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

SRC International mendakwa Najib menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu, selain melakukan penyelewengan.

Najib adalah penasihat emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC International yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.