Peguam muda terus tuntut imbuhan minimum bagi pelatih dalam kamar

Peguam muda terus tuntut imbuhan minimum bagi pelatih dalam kamar

Usul serupa pada AGM tahun lepas gagal kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga seperti yang diperlukan.

Usul oleh Cassandra Chung mendesak agar gaji minimum diguna pakai bagi pelatih dalam kamar, manakala Charles Hector Fernandez mengusulkan kos ‘munasabah’ dalam saman sivil.
PETALING JAYA:
Mesyuarat agung tahunan (AGM) Badan Peguam Malaysia esok dijangka mengundi usul menuntut firma guaman membayar pelatih mereka imbuhan minimum.

Pelatih yang ingin menjadi peguam perlu menjalani tempoh mandatori dalam kamar selama sembilan bulan. Mereka tidak diklasifikasikan sebagai pekerja bawah Akta Pekerjaan, bermaksud gaji minimum tidak terpakai bagi mereka.

Usul daripada peguam Cassandra Chung menggesa Majlis Peguam menuntut firma guaman membayar pelatih gaji minimum RM1,200 sebulan. Usul itu disokong oleh peguam Eric Toh, Goh Cia Yee, Nathalie Kee, Tan Hei Zel dan Vince Tan.

Usul itu menyatakan bahawa Majlis Peguam telah mencadangkan beberapa pindaan kepada Akta Profesion Undang-undang supaya Badan Peguam boleh membuat peraturan untuk mengawal selia gaji, elaun dan persekitaran pekerjaan peguam dan kakitangan.

“Cadangan pindaan masih belum dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara. Kami juga berpendirian bahawa pindaan perundangan itu tidak perlu dan ingin menyatakan bahawa Persatuan Peguam Hong Kong telah melaksanakan kadar elaun minimum untuk pelatih,” menurut usul itu.

Satu lagi usul, daripada aktivis peguam Charles Hector Fernandez, menggesa mahkamah menetapkan anugerah kos “minimum dan munasabah” dalam rayuan sivil.

Kos dan ganti rugi yang tinggi akan mengakibatkan litigan mengelak daripada menuntut keadilan di mahkamah, katanya.

Beliau berkata, dalam dua kes baru-baru ini – rayuan Khairy Jamaluddin terhadap tuntutan Anwar Ibrahim dan rayuan Malaysiakini terhadap saman fitnah Raub Australian Gold Mining – perayu diperintahkan membayar kos antara RM50,000 dan RM150,000.

Fernandez turut mengemukakan usul agar Majlis Peguam mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan menuntut penggubalan undang-undang pembiayaan politik.

Terdapat juga usul yang mencadangkan ahli Majlis Peguam melanggan dan membayar perkhidmatan penyedia jurnal undang-undang CLJ Legal Network Sdn Bhd, Digital Library Sdn Bhd dan Thomson Reuters Asia Sdn Bhd selama tiga tahun.

Ahli-ahli perlu membayar RM202 setahun untuk langganan, dengan Badan Peguam menyediakan subsidi enam bulan.

Pada AGM tahun lepas, usul mengenai langganan kepada lima jurnal undang-undang dikalahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.