
Pesuruhjaya Kehakiman Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan habeas corpus tiga individu yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Tiga lelaki itu ialah V Mahendran, yang ditahan di pusat penahanan Pokok Sena, Kedah; serta P Daniel Arvind dan G Balamurugan yang ditahan di pusat penahanan Bentong, Pahang.
Pada 25 Mei tahun lalu, Lembaga POCA mengeluarkan perintah penahanan terhadap tiga lelaki itu.
Peguam mereka T Harpal Singh berkata, mahkamah memutuskan pegawai penyiasat dan pegawai inkuiri gagal melakukan siasatan betul terhadap pemohon.
“Pemohon memfailkan afidavit mangsa yang mengatakan mereka tiada di lokasi jenayah,” katanya.
Menurutnya, mahkamah turut memutuskan perintah reman pemohon di bawah POCA adalah cacat kerana garis panduan dan prinsip perundangan yang dinyatakan dalam satu penghakiman Mahkamah Persekutuan tahun lalu tidak dipatuhi.
Katanya, pemohon telah melihat video disiarkan polis yang mendakwa mereka terlibat dalam pergaduhan kumpulan gengster. Seterusnya mereka memutuskan menyerah diri untuk membantu siasatan pada 4 Mac 2021.
Bagaimanapun, polis terus menahan mereka di bawah pelbagai perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 5 April, apabila mereka akhirnya dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam.
Mereka kemudian ditahan mengikut POCA untuk siasatan lanjut.
Tiga pemohon itu seterusnya memfailkan writ habeas corpus pada 23 Jun dengan menamakan Lembaga POCA, Kementerian Dalam Negeri dan superintendan pusat penahanan itu sebagai responden.