Dedah pemegang 35 AP import ayam, kerajaan diberitahu

Dedah pemegang 35 AP import ayam, kerajaan diberitahu

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin mendakwa permit import (AP) sudah menjadi seperti skim cepat kaya.

Bekas timbalan menteri Sim Tze Tzin, berkata pemberian lebih banyak AP akan melemahkan penternak ayam tempatan dan menjadikan Malaysia lebih bergantung kepada negara lain dalam mendapatkan keperluannya.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen pembangkang Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) menuntut kerajaan mendedahkan 35 pemegang permit import (AP) yang dibenarkan mengimport ayam.

Beliau berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengekang amalan ‘menyewakan’ permit untuk “skim cepat kaya”.

Ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, Sim turut mengemukakan persoalan berhubung jumlah tan ayam sudah dibawa masuk ke negara ini.

Beliau mendakwa AP sudah disalah guna individu yang mempunyai kaitan politik, yang mana mereka akan bertindak menjualnya, sekali gus mewujudkan “jaringan pencari sewa”.

Sim Tze Tzin.

Sim juga mahu kerajaan berhenti mengeluarkan lebih banyak AP kerana ia tidak akan memberi manfaat kepada rakyat pada tempoh panjang.

Sim, yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, berkata memberikan lebih banyak AP akan menyebabkan lambakan ayam import memasuki pasaran tempatan dan merugikan penternak tempatan.

“Syarikat penternak tempatan yang kecil tidak mampu bersaing dengan syarikat penternak besar dari China atau Vietnam.

“Bagi menjamin penternak tempatan bertahan, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) perlu berhenti mengeluarkan AP,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menentang idea pemberian AP bagi mengimport produk makanan kerana ia akan menjadikan Malaysia lebih bergantung kepada negara lain untuk mendapatkannya.

Baru-baru ini, bekas ahli akademik dan pengkaji bebas, Murray Hunter, menulis kerajaan membenarkan 35 syarikat mengimport ayam bagi tempoh sementara bertujuan meningkatkan kekurangan bekalan di pasaran.

Beliau mendakwa, AP terbabit disifatkan menarik perhatian ramai pihak selain diberikan secara tidak adil, menurut sumber dalam industri.

Katanya, terdapat banyak dakwaan daripada pemain industri mengatakan bahawa kartel syarikat sudah bersedia memasuki pasaran sebaik pengeluar sedia ada menutup operasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.