
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah dijadualkan menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan pada 9.30 pagi.
Jika keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Zahid, maka beliau akan dipanggil membela diri.
Namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.
Pada 6 Dis, Sequerah menetapkan esok sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.
Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi, termasuk bekas pegawai khas Zahid, Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Zahid, Mazlina Mazlan @ Ramly.
Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019.
Zahid, 68, mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan CBT, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Selain itu, beliau turut berdepan 40 tuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara.