
Rakyat mungkin beranggapan undang-undang ketat untuk orang biasa tetapi lebih longgar bagi golongan itu.
Muhammad Mohan, bekas presiden Transparency International Malaysia berkata pengampunan seperti itu juga akan melemahkan ketetapan mahkamah kerana didasari tindakan politik.
Beliau menambah keadaan itu boleh merosakkan kredibiliti undang-undang antirasuah dan institusi penguatkuasa.
“Orang akan mula sinis terhadap institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahkamah, dan pendakwa raya kerana dilihat sebagai alat politik, bukan penjaga integriti yang neutral.
“Sabitan atau pendakwaan terdahulu pula akan kelihatan simbolik, bukan substantif,” katanya kepada FMT.
Beliau turut menekankan kemungkinan penyalahgunaan pendakwaan, di mana kerajaan boleh mendakwa pihak lawan dengan mengetahui pengampunan mungkin digunakan kemudian untuk tujuan politik.
Muhammad memberi amaran, ini boleh mencetuskan kitaran tawar-menawar golongan elit, kerana setiap pertukaran kerajaan mungkin menuntut pengampunan baru.
“Ini mewujudkan norma berbahaya… bahawa rasuah bukan jenayah dengan akibat, tetapi liabiliti politik yang boleh dirunding. Ia akan merosakkan reputasi negara dalam jangka panjang,” katanya.
“Masa depan kemungkinan akan menyaksikan impuniti menjadi normal, kerana rasuah dianggap risiko yang dikira.
“Ahli politik akan berfikir, ‘Walaupun ditangkap, pengampunan mungkin berlaku’.”
Muhammad juga menegaskan, pemberian pengampunan boleh bercanggah dengan janji reformasi dan akauntabiliti terdahulu, terutamanya jika kempen politik atau pentadbiran terdahulu jelas berikrar sifar toleransi terhadap rasuah.
“Pengundi mungkin melihat pengampunan sebagai pengkhianatan kepercayaan dan pembalikan pasca pilihan raya yang didorong oleh survival politik, bukan prinsip,” katanya.
Beliau mengulas cadangan bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, yang mencadangkan pertimbangan serius untuk pengampunan penuh kepada bekas perdana menteri, Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara atas kes rasuah.
Dalam kenyataannya, Ong berkata pendiriannya terhadap pengampunan penuh dipengaruhi cadangan ‘pengampunan besar-besaran’ yang pernah dikemukakan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, pada 2023.
Ong berkata pengampunan itu bukan sahaja melibatkan pengampunan penuh kepada Najib, tetapi juga penghentian kes yang sedang berjalan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.
“Ini akan membuka ruang untuk apa yang Khairy istilahkan sebagai ‘penetapan semula politik’, supaya kita boleh menghentikan proses mengejar lawan politik menggunakan instrumen negara apabila satu pihak berkuasa,” kata Ong.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Pushpan Murugiah berkata cadangan pengampunan untuk ahli politik sebagai ‘melucukan’ kerana ia berat sebelah terhadap mereka yang tidak memiliki pengaruh atau kuasa politik yang sama.
Beliau menegaskan, undang-undang seperti Akta SPRM dan Kanun Keseksaan, yang menetapkan kesalahan dan hukuman rasuah dengan jelas, akan terjejas jika pengampunan boleh mengelakkan pelaksanaannya.
Pushpan juga berkata cadangan ‘penetapan semula politik’ yang menguntungkan golongan elit adalah ‘kurang tepat, walaupun berniat baik.
“Jika pengampunan sebegini direalisasikan, ia akan merugikan demokrasi kerana semakin menjauhkan urusan politik daripada rakyat Malaysia,” katanya.
“Ia juga akan memberi keyakinan kepada ahli politik dan golongan elit untuk bertindak tanpa rasa takut jika hukuman mahkamah dianggap sekadar cadangan kerana mereka boleh mencari jalan memendekkan hukuman melalui rangkaian pengaruh mereka sendiri,” tambah Pushpan.