Periksa BMI saja tidak cukup tangani masalah obesiti kanak-kanak, kata PIBGN

Periksa BMI saja tidak cukup tangani masalah obesiti kanak-kanak, kata PIBGN

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Mohamad Ali Hasan berkata terdapat keperluan untuk meneliti masalah itu secara holistik.

Pemakanan seimbang, senaman dan pemeriksaan perubatan dan gigi juga penting untuk menangani masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak, kerajaan diberitahu.
PETALING JAYA:
Sebuah badan yang mewakili persatuan ibu bapa dan guru menggesa supaya pendekatan yang dilakukan dalam menangani masalah obesiti dalam kalangan murid sekolah tidak hanya terhad kepada pemeriksaan indeks jisim badan (BMI) semata-mata.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) , Mohamad Ali Hasan berkata, terdapat keperluan untuk meneliti masalah itu secara holistik.

“Bagi mengekang masalah obesiti dalam kalangan murid prasekolah dan sekolah rendah, sistem amaran awal seperti pemeriksaan perubatan dan gigi mesti dilakukan secara berkala,” katanya.

“Nilai khasiat makanan yang dihidangkan di kantin dan sekitar kawasan sekolah juga perlu diperiksa secara berkala dan rambang.”

Mohamad Ali Hasan.

Beliau berkata, pemeriksaan BMI sahaja boleh menyebabkan masalah lain dalam kalangan murid seperti perasaan tidak yakin kepada diri dan kecewa kerana berasa tidak normal.

Katanya, pemeriksaan mental dan psikologi secara berkala juga harus dilaksanakan.

Ali turut berkata, semua sekolah perlu mematuhi sukatan pelajaran pendidikan jasmani dengan ketat dan menjadualkan ceramah kesihatan oleh profesional untuk murid dan ibu bapa atau penjaga.

Manakala Setiausaha Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE), Tunku Munawirah Putra berkata, kualiti pemakanan kanak-kanak adalah bergantung kepada pendapatan ibu bapa dan persekitaran tempat tinggal mereka.

Tunku Munawirah Putra.

“Golongan miskin bandar tidak mempunyai tempat untuk menanam,” katanya.

“Jadi mereka memberikan makanan yang mudah didapati kepada anak-anak. Pemakanan itu mungkin tidak sihat dan seimbang,” katanya.

“Ia terpulang kepada sekolah dan guru untuk menerapkan kepentingan makanan seimbang. Seterusnya, anak-anak boleh mempengaruhi tabiat membeli diamalkan oleh ibu bapa mereka,”

Katanya, pemeriksaan BMI harus disusuli dengan langkah mengenal pasti perkara yang diperlukan oleh kanak-kanak berlebihan berat badan ini apabila ibu bapa mereka tidak mampu mendapatkan makanan sihat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.