Didikan antirasuah di sekolah baik, tapi tak perlu subjek khas

Didikan antirasuah di sekolah baik, tapi tak perlu subjek khas

Pensyarah kanan Anuar Ahmad berkata elemen pencegahan rasuah boleh dimasukkan dalam mata pelajaran seperti pendidikan moral dan pendidikan Islam atau kokurikulum.

Jika setiap isu seperti rasuah dan alam sekitar dijadikan subjek khas, ia akan membebankan murid dan guru, menurut Anuar Ahmad.
PETALING JAYA:
Pendidikan kesedaran mengenai rasuah wajar diberikan kepada pelajar, namun belum sesuai dijadikan subjek khusus di sekolah buat masa ini, kata seorang ahli akademik.

Pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad berkata elemen pencegahan rasuah boleh dimasukkan dalam mata pelajaran sedia ada seperti pendidikan moral dan pendidikan Islam, serta aktiviti kokurikulum.

Anuar Ahmad.
Anuar Ahmad.

“Banyak isu penting yang perlu diberi perhatian di sekolah seperti literasi kewangan, penggunaan media sosial dan alam sekitar. Jika setiap isu dijadikan subjek khusus, ia akan membebankan murid dan guru.

“Guru boleh gunakan isu rasuah sebagai contoh dalam pengajaran, paling penting pelajar faham membezakan antara yang betul dan salah,” katanya yang juga timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda UKM) kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Berhad Halim Mohamad supaya Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan kurikulum khusus berkait rasuah seperti di Jepun.

Bercakap dalam seminar antirasuah minggu lalu, Halim berkata nilai murni mengenai kesan buruk rasuah perlu diterapkan sejak kecil bagi membentuk generasi berintegriti.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menyifatkan pendidikan integriti dan antirasuah di sekolah sebagai pelaburan jangka panjang untuk membentuk generasi bebas korupsi.

Jais Abdul Karim.

Katanya, kejayaan beberapa negara seperti Finland dan Korea Selatan membuktikan pendidikan nilai sejak sekolah mampu mengurangkan kes rasuah dalam masyarakat.

“Pendidikan ini bukan sekadar memberi pengetahuan mengenai rasuah, tetapi membentuk cara berfikir dan berkelakuan supaya menolak salah guna kuasa, penipuan dan penyelewengan.

“Kalau nilai kejujuran dan tanggungjawab sudah dipupuk sejak kecil, kita sedang membina benteng sosial yang kuat sebelum mereka masuk ke alam pekerjaan dan jawatan berkuasa,” katanya.

Jais berkata MCW bersedia membantu KPM menyediakan modul pembelajaran berasaskan nilai sejagat dan prinsip Islam, termasuk menyediakan latihan serta bengkel kepada guru.

Beliau mencadangkan KPM mempertimbangkan pelaksanaan ‘Program Code 35 – Code of Trust’ sebagai projek rintis untuk pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, yang memberi fokus kepada pembinaan sahsiah dan kepimpinan berintegriti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.