Kanak-kanak kes hak penjagaan tersepit antara 2 sistem, kata aktivis

Kanak-kanak kes hak penjagaan tersepit antara 2 sistem, kata aktivis

Hartini Zainudin berkata ia disebabkan kegagalan Malaysia menandatangani konvensyen antarabangsa dan kekeliruan akibat sistem dwi mahkamah.

school reopen mom sekolah ibu
Hartini Zainudin berkata, kes hak penjagaan anak melibatkan penculikan bukan sekadar pergaduhan keluarga semata-mata.
PETALING JAYA:
Kegagalan menandatangani konvensyen antarabangsa telah menjejaskan usaha menyelesaikan kes kanak-kanak dalam pertikaian hak penjagaan yang dibawa merentasi sempadan, kata aktivis hak kanak-kanak Hartini Zainudin.

Beliau berkata, kanak-kanak dibiarkan tanpa perlindungan kerana pertikaian hak penjagaan melibatkan penculikan sering ditolak di Malaysia sebagai ‘urusan rumah tangga’.

Sistem dwi-kehakiman di Malaysia juga membawa kepada kekeliruan dan perintah hak penjagaan yang tidak dikuatkuasakan, di mana seorang ibu atau bapa mungkin diberikan hak penjagaan oleh mahkamah sivil, manakala seorang lagi memperoleh perintah bercanggah daripada mahkamah syariah.

“Kedua-dua mahkamah tidak mengiktiraf bidang kuasa masing-masing, menyebabkan kanak-kanak terperangkap antara dua sistem yang enggan bekerjasama,” katanya kepada FMT.

Hartini berkata kes itu bukan sekadar pergaduhan keluarga, tetapi menjejaskan keselamatan dan ketenteraman kanak-kanak.

“Itulah realiti yang kita hadapi – di mana kanak-kanak sering menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Beliau berkata kegagalan Malaysia menandatangani Konvensyen Hague mengenai penculikan kanak-kanak antarabangsa mendedahkan mereka kepada risiko. Konvensyen itu melindungi kanak-kanak daripada dibawa lari secara salah merentasi sempadan antarabangsa oleh salah seorang ibu atau bapa atau penjaga.

Ia juga bertujuan memastikan mereka dikembalikan dengan segera, serta melindungi hak penjagaan dan akses di bawah undang-undang negara anggota daripada dipertikaikan oleh tindakan seorang ibu atau bapa yang membawa lari anak ke negara lain.

Hartini mengulas kes seorang ibu dari Singapura, Daylin Limonte Alvarez, yang mendakwa anak lelaki berusia tujuh tahun telah diculik oleh bapanya dan dibawa ke Malaysia.

Beliau telah diberikan hak penjagaan tunggal oleh mahkamah syariah di Singapura dan Johor Bahru tetapi bapanya, Luqman Liang Hsien Masood, didakwa membawa anak mereka ke Johor Bahru pada Mei 2024.

Luqman diarahkan memulangkan kanak-kanak itu kepada Limonte dan Nur Alert telah dikeluarkan untuk membantu mengesannya, dengan Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata siasatan sedang diteruskan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata ia terbuka untuk membincangkan kes itu dengan Jabatan Peguam Negara.

Suhakam berkata Malaysia boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan keselamatan dan pemulangan kanak-kanak dalam kes seperti itu.

Jika kanak-kanak itu berada di Malaysia, agensi penguat kuasa kerajaan mesti bekerjasama dengan pelindung kanak-kanak yang diwartakan bagi membawa kanak-kanak itu segera ke Mahkamah Kanak-Kanak.

“Keutamaan paling mendesak ialah kebajikan kanak-kanak tersebut, kerana merekalah yang paling terkesan,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan kepada FMT.

Akta Kanak-Kanak menjadikan kesalahan membawa lari kanak-kanak keluar dari negara tanpa kebenaran daripada penjaga sah sebagai satu jenayah. Pesalah boleh didenda sehingga RM10,000, dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.