
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata soal keselamatan di sekolah adalah tanggungjawab penuh pentadbir.
Katanya, ia termasuk memastikan semua kemudahan diselenggara dengan baik dan langkah pencegahan ditingkatkan, khasnya dalam lingkungan kawasan dikhuatiri berlaku kemalangan luar jangka.
Beliau berkata, KPM memperkukuh aspek penyelenggaraan dan keselamatan infrastruktur sekolah di seluruh negara bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Pentadbir harus komited, mengambil maklum dengan segera dan juga aspek lain, termasuk menambah baik keselamatan dan juga fasiliti di sekolah, mudah-mudahan semua tindakan dan tumpuan yang diberi dapat mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Saya sudah bercakap dengan Jabatan Kerja Raya dan pihak sekolah secara keseluruhannya bukan sekolah terbabit saja bahawa soal keselamatan mesti diberikan tumpuan penuh, khususnya berkait rapat dengan infrastruktur.”
Katanya menurut Harian Metro selepas merasmikan Program Wacana Fikrah Siddiq Fadzil di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang, George Town.
Sebelum ini, media melaporkan seorang murid tahun tiga maut terjatuh dalam saluran kumbahan sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai, September lalu.
Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan kes itu diklasifikasikan NFA setakat ini kerana siasatan terperinci mendapati ia kemalangan serta tiada unsur jenayah atau pembabitan pihak lain.