
Dalam satu kenyataan di Facebook, KLIA memaklumkan sepanjang tempoh berkenaan, perkhidmatan bas ulang-alik akan beroperasi sepenuhnya bagi memastikan pergerakan penumpang antara terminal tidak terjejas.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk mengekalkan ketersambungan lapangan terbang yang selamat, efisien dan selesa,” kata kenyataan itu.
Perkhidmatan Aerotrain KLIA disambung semula sepenuhnya pada 1 Julai tetapi sejak itu ia mengalami beberapa gangguan.
Sejak itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik 24 jam di lapangan terbang susulan kekerapan gangguan pada sistem Aerotrain.
Syarikat itu juga melaksanakan pelan tindakan selepas mengesan penurunan tahap kebolehpercayaan sistem Aerotrain, selain mengarah kontraktor projek Alstom dan IJMC-Pestech Joint Venture supaya mengambil tindakan pembetulan segera.
Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah sebelum ini berkata penyedia sistem Aerotrain berkemungkinan akan dikenakan denda sehingga RM190,000 bagi setiap bulan jika gagal memastikan tren beroperasi pada tahap optimum.