
Presidennya Mohd Sobri Yusuf berkata langkah itu bagi memastikan pelaksanaan dasar yang menempatkan dua guru dalam satu kelas tidak menjejaskan sekolah, yang ketika ini berdepan kekurangan tenaga pengajar.
Beliau menegaskan, penempatan guru perlu dirancang secara strategik supaya pengajaran bersama tidak menambah tekanan kepada guru sedia ada, terutama di kawasan luar bandar dan sekolah berkepadatan tinggi.
“KGMMB menyarankan agar KPM melakukan audit terhadap jumlah guru, termasuk kadar pengambilan baharu dan kadar keluar seperti bersara atau berhenti, supaya pelaksanaan dasar ini tidak pincang di peringkat lapangan,” katanya kepada FMT.
Memetik laporan BH semalam, KPM akan memperkenalkan kaedah ‘co-teaching’ sebagai antara pendekatan baharu yang bakal dilaksanakan dalam kurikulum persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ia akan diperkenalkan di seluruh negara bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.
Katanya, kaedah ‘co-teaching’ dilaksanakan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih menarik serta berkesan kerana ia memberi ruang guru menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP.
Mengulas lanjut, Mohd Sobri berkata walaupun kesatuan menyambut baik inisiatif ‘co-teaching’ yang bertujuan memperkukuh keberkesanan PdP, tahap persediaan guru di sekolah masih memerlukan penambahbaikan menyeluruh.
Menurutnya, guru perlu diberikan kefahaman mendalam mengenai pedagogi kolaboratif, pengurusan bilik darjah bersama, serta teknik pengajaran berpasukan bagi mengelakkan kekeliruan peranan antara dua tenaga pengajar dalam satu kelas.
“Latihan profesional disediakan KPM adalah langkah baik, namun tempoh dan intensiti latihan tersebut perlu dipertingkat supaya guru benar-benar bersedia dari segi teori dan amali,” katanya.
Beliau turut mengingatkan cabaran utama dalam pelaksanaan ‘co-teaching’ ialah kekeliruan dalam pengagihan tanggungjawab antara dua guru, selain perbezaan gaya mengajar dan tahap pengalaman yang boleh menjejaskan keseragaman pendekatan PdP.
Selain itu, katanya, kekangan masa bagi perancangan bersama turut dijangka menjadi isu kerana jadual guru ketika ini sudah sedia padat dengan pelbagai tugasan kurikulum dan pentadbiran.
“Walaupun ‘co-teaching’ berpotensi meningkatkan keberkesanan PdP melalui kepelbagaian pendekatan dan perhatian lebih terhadap murid, beban kerja guru pasti meningkat dari segi penyelarasan bahan, perancangan bersama dan penilaian murid,” katanya.
Dari sudut pelajar, beliau berkata pendekatan itu mampu meningkatkan penglibatan aktif murid serta memperkukuh pemantauan pencapaian pelajar, namun keberkesanannya perlu dinilai secara berterusan melalui kajian impak dan maklum balas guru serta murid.
“KGMMB menyeru supaya pelaksanaan ‘co-teaching’ dilakukan secara berperingkat dan inklusif dengan mengambil kira suara guru di lapangan.
“Kesatuan komited bekerjasama dengan KPM untuk memastikan transformasi pendidikan ini berjaya serta memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
Pada Ogos lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh mendedahkan seramai 2,397 guru bersara awal sehingga Mei, manakala bagi tahun lepas pula merekodkan 5,082 guru, 2023 (6,394 orang) dan 2022 (5,306 orang).
“Jumlah guru bersara awal dari 2022 hingga 2024 secara puratanya sebanyak 5,594 orang setahun,” katanya.
Daripada jumlah itu, data KPM menunjukkan sebanyak 67.44% guru memilih untuk bersara awal kerana tidak lagi berminat dengan kerjaya, diikuti masalah keluarga (17.43%) dan kesihatan (7.69%).