Penglibatan GPS dalam kerajaan persekutuan untuk lindung keistimewaan Sarawak, kata Fadillah

Penglibatan GPS dalam kerajaan persekutuan untuk lindung keistimewaan Sarawak, kata Fadillah

Ketua Whip GPS Fadillah Yusof berkata PH khususnya DAP cuma memainkan sentimen bangsa dan agama dalam setiap pilihan raya negeri.

    Ketua Whip GPS Fadillah Yusof berkata, parti pembangkang ibarat ‘menutup mata’ terhadap rekod prestasi mereka dalam mengekalkan keharmonian di Sarawak selama beberapa dekad.
PETALING JAYA:
Penglibatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kerajaan persekutuan bertujuan menjaga keharmonian dan toleransi beragama di negeri ini, kata ketua whip gabungan itu Fadillah Yusof.

Dalam satu kenyataan, Fadillah mendakwa Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP memainkan sentimen bangsa dan agama dengan menuduh penyertaan GPS dalam kerajaan persekutuan bersama Barisan Nasional (BN) dan PAS menjejaskan keharmonian kepelbagaian budaya dan agama di Sarawak.

Beliau berkata parti pembangkang ibarat “menutup mata” terhadap rekod prestasi mereka dalam mengekalkan keharmonian di Sarawak selama beberapa dekad.

“PH dan DAP juga terus mengabaikan perkara itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di mana Sarawak mempunyai autonomi penuh ke atas kewangan, agama dan penggunaan bahasa yang akan dipertahankan oleh GPS sehingga ke akhirnya,” katanya.

Fadillah yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata gabungan itu membantu membentuk kerajaan pusat bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga hak istimewa Sarawak, sesuatu yang didakwanya gagal dilakukan PH ketika mentadbir Putrajaya selama 22 bulan.

“Rakyat Sarawak tidak akan lupa bagaimana mereka telah berusaha untuk menangguhkan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo termasuk membatalkan Fasa 2 lebuh raya berkenaan, membatalkan tiga jambatan, penafian dana peruntukan RM1 bilion untuk membaiki sekolah di Sarawak dan memungkiri janji royalti minyak sebanyak 20% untuk dikembalikan kepada Sarawak yang memaksa kerajaan GPS mengenakan cukai ke atas Petronas.

“Kami tidak lupa dan tidak akan lupa. Begitu juga rakyat Sarawak.”

Beliau turut menyentuh mengenai peranan GPS dalam melindungi keharmonian pelbagai etnik di Sarawak, contohnya penglibatan aktif GPS dalam memastikan pelesenan baharu alkohol oleh kerajaan pusat dan sekatan penjualan alkohol dibatalkan.

“Di samping itu, kami ingin menegaskan bahawa kontroversi wiski Timah baru-baru ini juga dimulakan oleh rakan kongsi DAP, Amanah dan seterusnya dihasut oleh Ahli Parlimen PKR yang menyatakan di Parlimen bahawa minum wiski Timah seperti ‘meminum wanita Melayu’.

“Di mana suara DAP ketika itu?”

Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata beliau yakin rakyat negeri itu akan melihat dan menilai hasutan yang cuba dimainkan oleh PH dan DAP.

“Saya yakin bahawa rakyat Sarawak sudah letih dan dapat melihat melalui taktik lama, taktik hasutan agama dan kaum yang dibawa oleh PH dan DAP dari Semenanjung di dalam setiap pilihan raya Sarawak dan (rakyat) akan menolak mereka dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.