
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, tahun depan dijangka menjadi tempoh kritikal berikutan beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Sarawak akan menamatkan tempoh DUN masing-masing.
“Sekiranya Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) membuat keputusan untuk mengadakan PRU serentak dengan negeri-negeri ini, Parlimen mungkin perlu dibubarkan lebih awal,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2025 yang dihadiri 696 perwakilan hari ini.
“Saya tidak kata ia pasti berlaku, tetapi tanggungjawab saya ialah mengingatkan pimpinan Pulau Pinang supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, walaupun penggal negeri ini masih panjang.”
Beliau berkata, berbeza dengan PRU lepas apabila negeri-negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) mengadakan pilihan raya secara berasingan, kini situasi berubah kerana kerajaan negeri dan kerajaan pusat berada di bawah pentadbiran sama, memerlukan strategi politik yang lebih selaras.
Pada masa sama, Loke menegaskan perpaduan dan disiplin parti kekal penting dalam mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap DAP di Pulau Pinang.
“Kita berada dalam kedudukan yang selesa dengan rekod pentadbiran yang baik, tetapi jangan leka,” katanya.
“Pengundi paling tidak suka kalau parti berpecah. Kekuatan DAP Pulau Pinang bergantung pada kesatuan dan perpaduan.”
Beliau turut menyeru semua ahli menghormati keputusan pemilihan parti tahun lepas serta memberi sokongan kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim, yang mengambil alih jawatan itu daripada Ketua Menteri Chow Kon Yeow selepas beliau tidak bertanding.
Pada PRN Pulau Pinang 2023, gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memenangi 29 daripada 40 kerusi yang dipertandingkan.