
Ketua DAP Sabah Phoong Jin Zhe berpindah dari kerusi Luyang yang diwakilinya selama dua penggal untuk bertanding di Likas, manakala timbalannya Chan Foong Hin akan mewakili Tanjung Aru.
Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan timbalan menteri perladangan dan komoditi diharap merampas Tanjung Aru daripada Warisan yang menguasai kerusi itu selama dua penggal.
Naib Pengerusi DAP Sabah Jannie Lasimbang pula akan mempertahankan kerusi Kapayan bagi penggal ketiga.
DAP Sabah akan berusaha merampas semula kerusi Sri Tanjong dan Elopura yang dimenangi pada 2020 sebelum dua wakil rakyatnya — Justin Wong dan Calvin Chong — melompat parti ke Warisan.
Ia juga akan mempertahankan kerusi Tanjong Papat, sebelum ini diwakili Frankie Poon iaitu bekas ketua DAP Sabah yang meninggalkan parti bulan lalu.
Senarai penuh calon DAP:
- Phoong Jin Zhe – Likas
- Chan Foong Hin – Tanjung Aru
- Jannie Lasimbang – Kapayan
- Philip Yap – Sri Tanjong
- Vivian Wong – Elopura
- Chan Loong Wei – Luyang
- Tang Szu Ching – Tanjong Papat
Senarai calon itu diumumkan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya di Kota Kinabalu.