Adik saya dipukul, dipaksa beli barang untuk senior tentera, kata abang; Hishammuddin janji siasat

Adik saya dipukul, dipaksa beli barang untuk senior tentera, kata abang; Hishammuddin janji siasat

Individu itu mendakwa adiknya dipukul setiap hari dan terpaksa menghabiskan semua gaji serta simpanan untuk membeli barangan keperluan 12 hingga 14 senior di kem bujang.

Hantaran itu mendapat perhatian Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein yang meminta individu berkenaan segera menghubunginya.
PETALING JAYA:
Seorang anggota tentera didakwa dipukul “setiap hari” oleh kumpulan “seniornya” di kem tentera, selain dipaksa menghabiskan gajinya membeli barang keperluan untuk mereka.

Abang kepada mangsa berkenaan membuat pendedahan itu di laman media sosial, sekali gus mengundang campur tangan Menteri Pertahanan Kanan Hishammuddin Hussein yang menjanjikan siasatan.

Dalam tangkap layar perbualan mesej yang tular di Twitter lelaki itu mendakwa adiknya, yang tinggal di kem bujang tentera, dibuli saban hari oleh 12 hingga 14 prajurit “senior”.

“Adik aku…hari-hari kena pukul dengan senior dan habis duit gaji dia kena pau. Sampai duit simpan dia pun dah nak habis. Bayangkan kena belikan barang-barang keperluan yang 12-14 orang tu,” katanya dalam mesej dikongsi bersama pengguna Twitter Pedoq.

Beliau turut mendakwa adiknya takut untuk membuat aduan kepada pegawai atasan kerana khuatir menerima nasib sama seperti penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang didera sehingga meninggal dunia.

“Dia (Adik saya) takut nak buat apa-apa. Dia cakap kes sebelum ini, dia orang buat laporan kepada orang atasan, (tetapi mereka) hanya denda kawad 45 minit saja. Aku dah hubungi balai polis. Polis suruh keluarga buat aduan di kem dulu.

“Tapi kalau jadi macam kes arwah Zulfarhan tu macam mana? Nanti dia orang pergi umum kat kem, pastu dia orang tahu adik aku yang buat aduan. Aku takut. Tolong,” katanya menerusi tangkap layar berkenaan.

Hantaran itu mendapat perhatian Hishammuddin yang meminta individu itu segera menghubunginya.

Beliau berkata, individu berkenaan tidak perlu khuatir kerana identitinya akan dirahsiakan dan jika dakwaan itu sahih, tindakan tegas akan diambil.

“Mohon individu di sebalik mesej ini utk DM (mesej terus) butiran lebih terperinci terus kepada saya atau hubungi pejabat saya segera.

“Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan. Timbalan Menteri (Ikmal Hisham Abdul Aziz) juga diarah untuk teliti perkara ini secara peribadi. Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” katanya di Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.