
Tegasnya, perbezaan dasar antara negara anggota melemahkan keupayaan Asean melindungi kepentingan kolektifnya.
“Kita lebih kuat sebagai Asean kerana mewakili 10 – kini 11 – negara dengan 600 juta penduduk. Suara kita lebih berwibawa.
“Tetapi, apabila setiap negara cuba menangani masalah bersendirian, ia menjadi lebih lemah,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Beliau mendapati ada negara anggota memilih untuk memihak kepada kuasa besar, merujuk pendirian “pro-Amerika” yang diambil Singapura dan Filipina.
“Dasar kita tidak lagi bersatu dan itu melemahkan kita. Apabila kita berunding dengan AS, kita lakukannya sebagai negara individu, bukannya sebagai Asean. Akibatnya, kita akhirnya tunduk kepada tuntutan mereka.”
Menjawab soalan sama ada Asean wajar mengguna pakai kerangka pertahanan seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Mahathir berkata, kerjasama lebih erat dalam hal keselamatan akan membolehkan rantau ini bertindak balas lebih berkesan terhadap pencerobohan wilayah serta tekanan geopolitik.
“Jika kita bersatu, kita boleh merangka dasar kukuh untuk menangani pencerobohan China dan Amerika. Malangnya, kita tidak bekerjasama – sebaliknya kita bertindak berasingan.”
Beliau memberi contoh layanan tidak seimbang Beijing terhadap negara anggota Asean dalam pertikaian Laut China Selatan, di mana tuntutan Malaysia ke atas Pulau Layang-Layang tidak dicabar secara langsung, manakala Filipina pula berdepan pencerobohan di Terumbu Laksamana.
“Itu menunjukkan apabila kita tidak bekerjasama, kita akan dilayan secara berbeza disebabkan kelemahan kita.”
Kenyataannya menyusul ketegangan di Laut China Selatan yang kembali memuncak, dengan tuntutan wilayah bertindih mencetuskan konfrontasi berulang antara kapal China dan beberapa negara anggota Asean.
Penganalisis berpendapat walaupun Asean mencapai kemajuan dalam memupuk kestabilan serantau sejak penubuhannya pada 1967, pengaruhnya dalam geopolitik global terhad tanpa dasar keselamatan bersama.
Pendekatan keselamatan Asean ketika ini berasaskan rangka kerja kerjasama dikenali Komuniti Politik-Keselamatan Asean, yang menekankan penyelesaian pertikaian secara aman serta prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota.
Malaysia kini menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean tahunan dari 30 Okt hingga 2 Nov.
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin dilaporkan berkata, beberapa latihan maritim Asean akan diluluskan dalam mesyuarat itu, termasuk latihan bersama dengan AS, China, India dan Korea Selatan. Mesyuarat itu juga akan mengeluarkan kenyataan bersama berhubung kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan.