
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada 24 Nov lepas.
“Sesi perjumpaan dan perbincangan telah diadakan dengan MOF.
“MOF secara dasarnya bersetuju mempertimbangkan cadangan daripada kedua-dua kementerian. Sebarang keputusan berkaitan bantuan kewangan kepada pemain industri akan diumumkan MOF,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bantuan kewangan yang bakal diberikan kepada pemain industri pertanian itu dijangka mampu menyerap lonjakan kos yang terpaksa ditanggung pengguna.
Katanya, pertemuan antara tiga pihak itu dibuat hasil dapatan daripada pertemuan antara Jawatankuasa Bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan MAFI bersama pihak berkepentingan serta pemain industri pertanian.
“Melalui sesi libat urus yang dijalankan, pemain industri terkesan memaklumkan keperluan mereka untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan bagi membantu meringankan beban kos operasi,” katanya.
Menurutnya, KPDNHEP sentiasa peka dan prihatin terhadap sebarang isu berkaitan kenaikan harga barangan, terutama makanan serta keperluan asas yang membebankan rakyat.
Justeru katanya, pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga, KPDNHEP secara proaktif akan memantau dan memeriksa harga barang di seluruh negara bagi memastikan harga barangan, termasuk sayur-sayuran dalam keadaan stabil.
“Tindakan akan dikenakan ke atas mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan, sekiranya terdapat unsur pengambilan keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.”
Seksyen 14(1) AKHAP 2011 memperuntukkan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu, atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan pengguna menggunakan aplikasi Price Catcher yang dibangunkan KPDNHEP untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai harga barangan keperluan asas.