Kerajaan digesa sedia bantuan kewangan urus haiwan terbiar

Kerajaan digesa sedia bantuan kewangan urus haiwan terbiar

Fauziah Paws berkata sokongan sewajarnya untuk pusat perlindungan akan membolehkan haiwan mendapat layanan lebih berperikemanusiaan dan mengurangkan insiden serangan anjing.

stray
Kos menguruskan populasi haiwan terbiar di luar kemampuan kewangan kebanyakan pusat perlindungan haiwan, justeru mereka perlu mendapatkan derma.
PETALING JAYA:
Kumpulan kebajikan haiwan, Fauziah Paws menggesa kerajaan bertanggungjawab terhadap pengurusan populasi haiwan terbiar secara berperikemanusiaan dan lebih lestari dengan menawarkan bantuan kewangan.

Presidennya, Siti Fauziah Abdul Jaabar, mendakwa pusat perlindungan haiwan di seluruh negara, termasuk Langkawi, bergelut dari segi kewangan disebabkan kekurangan dana.

Beliau berkata, dengan memperuntukkan dana untuk menyokong pusat perlindungan haiwan, kerajaan dapat membantu meringankan beban kewangan bagi menyediakan makanan, penjagaan veterinar dan kemudahan sewajarnya.

Menurutnya, ini dapat memastikan populasi haiwan terbiar diuruskan dengan lebih berkesan.

“Memberi bantuan kewangan kepada pusat perlindungan dan NGO membantu mengurangkan insiden serangan anjing sambil memastikan layanan berperikemanusiaan kepada haiwan ini.

“Memindahkan anjing liar ke sebuah pulau terpencil bukan penyelesaian jangka panjang berdaya maju dan tidak menangani punca lebihan populasi,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Langkawi, Suhaimi Abdullah mencadangkan sebuah pulau kecil berhampiran Langkawi dijadikan pusat perlindungan khusus buat anjing liar bagi mengelakkan ia menyerang penduduk dan pelancong.

Sabtu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun parah diserang sekumpulan anjing di Kampung Dedek, Langkawi.

Susulan itu, Suhaimi mencadangkan anjing liar dijaga dengan baik oleh NGO dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di pulau berkenaan.

Cadangan Suhaimi mendapat reaksi bercampur-campur.

Persekutuan Hak Asasi Manusia Global bagaimanapun mengalu-alukan cadangan itu.

Presidennya, S Shashi Kumar bersetuju cadangan itu berdaya maju jika keseluruhan operasi diuruskan sepenuhnya oleh NGO kebajikan haiwan dan pusat perlindungan.

Shashi yang sebelum ini mengkritik PBT atas pengurusan lemah populasi haiwan terbiar berkata, kerajaan boleh memperuntukkan dana untuk menyokong usaha NGO dan pusat perlindungan haiwan menguruskan operasi di pulau itu.

Beliau berkata, kekurangan sokongan kerajaan bermakna semua pusat perlindungan haiwan kini terpaksa membelanjakan wang sendiri atau mendapatkan sumbangan orang ramai.

“Ia memerlukan kos lebih RM80,000 untuk menguruskan pusat perlindungan haiwan kami di Semenyih, Selangor Furry Future Association,” katanya kepada FMT.

“Walaupun selepas mendapat semua sumbangan yang kami mampu, kami masih perlu menambah sekurang-kurangnya RM35,000. Saya menanggung hutang peribadi RM20,000 bagi mengendalikan pusat perlindungan itu.”

Beliau turut mencadangkan kerajaan menilai daya maju pulau itu sebagai habitat haiwan terbiar sebelum mula memindahkan haiwan ke sana.

“Kerajaan juga mesti menaja jamin lebih separuh daripada kos operasi di pulau itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.