Bantuan RM5,000 untuk rumah musnah tak cukup, kata penduduk

Bantuan RM5,000 untuk rumah musnah tak cukup, kata penduduk

Penduduk Putra Heights yang terjejas berkata jumlah itu hanya cukup sebagai bantuan sementara dan berharap ada bantuan tambahan.

FIRE PUTRA HEIGHTS
Penduduk beratur Putra Height beratur di pos kawalan tempat kejadian menunggu kebenaran dari polis untuk mengambil barangan penting di kediaman mereka.
SUBANG JAYA:
Penduduk Putra Heights yang terjejas akibat letupan saluran paip gas semalam menyifatkan bantuan kewangan sebanyak RM5,000 bagi setiap rumah yang rosak akibat kebakaran sebagai tidak mencukupi.

Penduduk yang ditemui FMT di pos kawalan tempat kejadian berkata jumlah kerugian yang dialami mereka masih belum dapat dianggarkan, namun berpendapat bantuan tersebut jauh lebih rendah.

Jali Masari, 26, yang menetap di kawasan itu sejak 2014 menghargai bantuan yang disalurkan kerajaan itu tetapi berpendapat jumlah yang diberikan adalah tidak mencukupi.

“Kami belum dapat masuk ke rumah, jadi kami pun tidak tahu sejauh mana kerosakan yang berlaku. Tetapi RM5,000 memang tidak cukup,” katanya, sambil berharap agar bantuan tambahan akan lebih tinggi.

Beliau juga merayu kerajaan kerajaan mempermudahkan proses tuntutan bantuan bagi meringankan beban penduduk.

“Saya harap kerajaan permudahkan proses tuntutan dan tidak menyusahkan kami.”

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Steven berkata, bantuan RM5,000 untuk setiap rumah yang rosak sepenuhnya dan RM2,500 untuk setiap rumah yang terkesan hanya mencukupi sebagai bantuan sementara.

“Rumah yang tidak terbakar pun mengalami kerosakan yang melebihi RM5,000. Jika bantuan ini hanya untuk keperluan sementara, mungkin cukup, tetapi kalau untuk semua perkara, ia memang tidak mencukupi.”

Seperti penduduk yang lain, Steven juga mahu jawapan tentang punca kebakaran itu kerana paip gas tersebut telah berada kawasan itu selama beberapa bertahun-tahun tanpa sebarang masalah sebelum ini.

Selvam Senasi yang menetap di Putra Heights selama 15 tahun, selain bantuan kewangan penduduk juga memerlukan bantuan segera dalam bentuk lain.

“Ketika ini kami mahu pulang ke rumah untuk mengambil dokumen penting, ubat-ubatan, dan keperluan asas,” katanya, sambil menambah penduduk juga memerlukan penempatan sementara dengan segera.

“Saya kini berada di hospital menjaga anak, tetapi selepas ini saya terpaksa berpindah ke rumah saudara di Puchong. Saya tidak tahu berapa lama kami perlu tunggu sebelum boleh pulang ke rumah.”

Kebakaran yang berlaku pagi semalam di sepanjang Jalan Putra Harmoni menyebabkan kawasan seluas 500m daripada paip gas itu terbakar, menyebabkan kemusnahan teruk ke atas rumah dan kenderaan.

Terdahulu, polis berkata 235 premis terjejas, dengan 87 rumah musnah sepenuhnya dan 148 lagi mengalami kerosakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.