Najib beritahu Raja Abdullah nak beri ‘bantuan kewangan’, kata saksi

Najib beritahu Raja Abdullah nak beri ‘bantuan kewangan’, kata saksi

Bekas duta Malaysia memberikan keterangan bahawa Najib Razak kelihatan teruja selepas bercakap dengan raja Arab Saudi itu pada 2010.

najib razak
Bekas perdana menteri Najib Razak sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana RM2.28 bilion.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas duta Malaysia ke Arab Saudi memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau dimaklumkan oleh Najib Razak bahawa raja Arab Saudi ingin memberikannya ‘bantuan kewangan’.

Ketika perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri itu hari ini, Syed Omar Al-Saggaf berkata, Najib memaklumkan perkara itu kepadanya selepas bercakap dengan Raja Abdullah dalam pertemuan tertutup pada Januari 2010.

“(Najib) kelihatan teruja apabila mendekati saya (selepas bercakap dengan raja Arab Saudi),” katanya, ketika disoal mengenai pertemuan yang dihadirinya.

Syed Omar berkata, pertemuan dengan Raja Abdullah itu turut dihadiri bekas menteri luar Anifah Aman dan bekas menteri agama Jamil Khir Baharom.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar kemudian bertanya sama ada Syed Omar sendiri mendengar Raja Abdullah menyebut ‘bantuan kewangan’.

Saksi itu berkata, beliau tidak mendengarnya sendiri kerana berdiri jauh daripada Raja Abdullah ketika pertemuan itu.

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

1MDB cuba ketepi sepina terhadap setiausaha syarikat

Setiausaha syarikat 1MDB Saiful Nizam Yasin pada mulanya dijadual memberikan keterangan sebagai saksi pembelaan hari ini.

Bagaimanapun, peguam Raphael Kok, yang memerhati bagi pihak 1MDB memberitahu mahkamah, beliau sedang berusaha mengetepikan sepina terhadap Saiful.

Kok berkata, pasukan guaman Najib mahu Saiful mengemukakan dokumen syarikat tertentu bertarikh 2018 hingga 2024, yang didakwanya sebagai dokumen terlindung.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib juga memberitahu mahkamah, keterangan Saiful tidak relevan dengan tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa yang dihadapi Najib.

Peguam Najib, Shafee Abdullah juga menuntut pihak pendakwaan menzahirkan kenyataan dirakam daripada saksi supaya mereka boleh memutuskan sama ada untuk memanggil saksi tertentu.

Sebagai respons, pihak pendakwaan berkata, kenyataan itu terlindung dan tidak akan diserahkan.

Mahkamah akan mendengar permohonan 1MDB untuk mengetepikan sepina terhadap Saiful pada 14 Feb.

Awal hari ini, pegawai Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) T Gunasekaran memberitahu mahkamah, antara 2009 dan 2018, 1MDB membuat caruman majikan bagi dua bekas CEO, iaitu Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Hazem Abd Rahman, serta bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir dan bekas peguam Jasmine Loo.

Bagaimanapun, Gunasekaran memberitahu mahkamah, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada caruman tersebut berkadar 13% seperti yang disyaratkan atau jumlah lebih tinggi.

Perbicaraan akan diteruskan pada 12 Feb di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.