4 hari selepas PM ke Batu Caves, sentimen positif komuniti India melonjak

4 hari selepas PM ke Batu Caves, sentimen positif komuniti India melonjak

Pemimpin PKR Manivanan Gowin berkata, kehadiran Anwar Ibrahim ke Batu Caves Jumaat lepas turut tepis dakwaan beliau abai masyarakat India.

anwar ibrahim
Jumaat lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melawat Batu Caves bagi meninjau persiapan sambutan Thaipusam.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR mendakwa ada lonjakan sentimen positif dalam kalangan masyarakat India terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas lawatannya ke Batu Caves, Jumaat lepas.
Manivanan Gowin.

Menyifatkan lawatan itu sebagai bersejarah, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Manivanan Gowin berkata, kehadiran Anwar turut menepis dakwaan beliau mengabaikan masyarakat India.

Menurutnya, sambutan hangat dan penjelasan pihak kuil yang diterima baik Anwar mencerminkan penghormatan beliau terhadap tradisi agama dan budaya masyarakat India.

“Satu aspek penting mendapat perhatian adalah tiadanya campur tangan pasukan protokol perdana menteri dalam susunan acara dikendalikan penganjur. Ini menunjukkan rasa hormat (Anwar) terhadap sensitiviti budaya dan kepercayaan masyarakat India, sesuatu yang dihargai oleh mereka yang hadir.

“Selepas lawatan ini, ada lonjakan sentimen positif dalam kalangan masyarakat India terhadap kepimpinan Anwar dan kerajaan perpaduan,” kata bekas Ahli Parlimen Kapar itu dalam kenyataan.

Manivanan berkata, kehadiran pemimpin India daripada parti komponen kerajaan perpaduan seperti R Ramanan (PKR), Gobind Singh Deo (DAP), SA Vigneswaran dan M Saravanan (MIC) juga menunjukkan sokongan kuat mereka terhadap Anwar.

“Kehadiran pemimpin-pemimpin India daripada kerajaan perpaduan menunjukkan kesatuan dalam kepimpinan negara, menandakan sokongan kuat kepada (Anwar) serta usaha memperkukuh hubungan antara kaum di Malaysia,” katanya yang juga setiausaha politik pejabat presiden PKR.

Jumaat lepas, Anwar melawat Batu Caves untuk meninjau persiapan sempena sambutan Thaipusam esok.

Mei lepas, Anwar berkata, kerajaan perpaduan tidak pernah meminggirkan kaum India malah pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan bagi memperkasa komuniti berkenaan.

Menurutnya, antara bantuan khusus buat kaum itu adalah menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), merangkumi program pendidikan termasuk latihan kemahiran.

Selain itu, terdapat juga bantuan kewangan untuk menampung yuran pengajian tinggi buat keluarga B40 berbangsa India, di samping program pembangunan keusahawanan dan kerjaya termasuk dalam bidang pertanian dan ekonomi gig.

Ini juga termasuk program pembangunan sosial dan kebajikan, kerohanian dan kesejahteraan masyarakat India, juga dalam aspek kebudayaan, bahasa, kerohanian dan kesukanan, terutama bagi masyarakat B40.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.