
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata, video yang dimuat naik di akaun TikTok @DATUKZULKARNAIN77 itu dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Video berkenaan memaparkan seolah-olah Sultan Ibrahim bertitah mengenai tawaran bantuan kewangan kepada rakyat, dan menggesa mereka yang mengalami masalah kewangan supaya menghubungi individu dikenali sebagai Datuk Zulkarnain.
“PDRM menegaskan kandungan video tersebut adalah palsu dan dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi AI,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung video itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terperdaya dengan kandungan video berkenaan serta tidak menghubungi individu terbabit kerana ia merupakan cubaan penipuan.