
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research, Rais Hussin berkata, wartawan memainkan peranan dan fungsi dalam mendukung ahli politik untuk mengambil kira dan melengkapkan dinamika semak dan imbang dalam sistem politik.
“Inilah sebabnya mengapa ahli politik bersikap kasar dan tidak hormat terhadap wartawan yang paling tidak disenangi. Dalam demokrasi pelbagai parti, ahli politik daripada semua pihak bergantung kepada wartawan untuk mengetengahkan isu dan kes bagi pihak mereka.
“Oleh itu, mereka mesti menyesuaikan diri dengan budaya dan norma di mana soalan yang sukar dan mencabar yang dikemukakan oleh wartawan mesti dijawab seperti diharapkan.

“Mereka sepatutnya melihat situasi sedemikian sebagai peluang untuk menjelaskan pendirian mereka dalam isu kontroversi seperti mengharamkan kedai judi nombor ekor di Kedah,” katanya dalam kenyataan.
FMT sebelum ini melaporkan dua pemimpin PAS, iaitu Idris Ahmad dan Awang Hashim, dilihat “mengasak” seorang wartawannya yang menyoal isu penutupan kedai judi nombor ekor oleh kerajaan pimpinan parti itu di Kedah.
Idris, Naib Presiden PAS dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menyoal sama ada wartawan Minderjeet Kaur boleh menerima jika suaminya “kaki judi”.
Manakala Awang, yang juga Ahli Parlimen Pendang dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, mendesak wartawan berkenaan supaya bertanyakan soalan dalam Bahasa Malaysia.
Rais berkata, PAS mesti mempunyai alasan mereka, termasuk statistik dan hasil penyelidikan, sebelum memutuskan larangan perjudian itu.
“Apa yang mereka perlu lakukan adalah menjelaskannya dengan betul dan menghormati perkara ini, terutamanya kepada media,” katanya.
Beliau berkata, soalan yang sukar, mencabar atau “janggal” membolehkan ahli politik mengasah kemahiran komunikasi dan penyampaian mereka.
“Menjadi ahli politik ialah mengutamakan komunikasi,” katanya.
Rais berkata, serangan peribadi atau mengkritik seseorang yang menggunakan Bahasa Inggeris bukan sahaja tidak relevan dan salah dari segi moral tetapi juga tidak disokong oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Minderjeet harus tahu bahawa seluruh rakyat Malaysia bersamanya. Dia perlu terus memainkan peranan pentingnya dan melakukannya tanpa rasa takut. Biarkan dia melakukan kerjanya.
“Sebaliknya, jika ahli politik tidak selesa, marah dan tidak mampu mengekalkan karakter yang baik seperti berkelakuan baik, parti dan agama yang mereka mewakili atau menghormati orang lain dan hak asas perlembagaan, maka mungkin mereka tidak sesuai untuk memegang jawatan itu,” katanya.