
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Teh Athira Mohamed Yusof, berkata tindakan menteri itu bukan sahaja tidak wajar, malah cubaan menakut-nakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia.
“Diingatkan, wartawan berkenaan telah melaksanakan tugasnya secara profesional iaitu mengemukakan soalan secara sopan dan teratur pada sidang akhbar rasmi dan langkah ini selari dengan prinsip kewartawanan beretika.
“Difahamkan, wartawan itu sekadar bertanya soalan mengenai penggunaan bahasa Melayu dan tiada sebarang provokasi cuba dilakukan sama ada untuk menggugat isu kepentingan atau ketenteraman negara,” katanya dalam
kenyataan.
Teh Athira berkata, seorang menteri wajar menghormati peranan media sebagai penyampai maklumat dan suara rakyat, bukannya memperlekeh atau memberi tekanan kepada wartawan hanya kerana soalan dikemukakan adalah tidak selesa untuk dijawab.
“Justeru, adalah tidak sepatutnya seorang menteri melayan seorang wartawan yang sememangnya mempunyai tanggungjawab dan ditugaskan oleh agensi berita,” katanya.
Katanya, kenyataan menteri untuk menghubungi ketua pengarang itu menghantar mesej salah dan bahaya, seolah-olah memberi isyarat wartawan patut dihukum hanya kerana melaksanakan tugas dengan jujur dan bertanggungjawab.
“Ini adalah satu bentuk intimidasi yang tidak boleh dan tidak seharusnya diterima sama sekali.”
Walaupun tiada nama disebut secara langsung, kenyataan itu dipercayai merujuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berhubung isu yang berlaku pada prapelancaran projek ‘I Lite U’, yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pada acara tersebut, seorang wartawan bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris. Nga menjelaskan ia merupakan acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.
Namun, dia kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia berkenaan bahawa dia akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu berhubung soalan diajukan.
“Saya tidak mahu awak datang ke sini dan menimbulkan perkara yang boleh merosakkan keseluruhan majlis. Saya akan hubungi ketua pengarang awak,” kata Nga.