Ramai MP mungkin tak sedar dapat emel ugutan sama, kata Wan Saiful

Ramai MP mungkin tak sedar dapat emel ugutan sama, kata Wan Saiful

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata dia menemui emel ugutan itu dalam kotak spam tetapi mungkin ada yang tidak sedar menerima emel terbabit.

Wan Saiful Wan Jan
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata beliau menemui emel itu ketika sedang bersarapan di kawasannya.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen pembangkang Wan Saiful Wan Jan menjadi individu terbaharu sasaran peras ugut USD100,000 membabitkan video lucah palsu dijana kecerdasan buatan (AI).

Wan Saiful, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, berkata dia menemui emel itu dalam kotak spam ketika sedang bersarapan di sebuah kedai makan di kawasannya di Tasek Gelugor.

Emel itu sama dengan emel diterima Ahli Parlimen lain, mengandungi tangkap layar kabur daripada video berkenaan serta kod QR untuk pemindahan wang. “Saya yakin rakyat Malaysia tahu bahawa video-video ini adalah palsu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Wan Saiful percaya Ahli Parlimen lain juga telah menerima emel seumpama itu tetapi ‘mungkin tidak sedar sebab emel tersebut masuk ke kotak spam seperti yang berlaku kepada saya.’

Menurutnya, ia akan dirujuk kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada laporan rasmi perlu dibuat.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang turut menerima emel ugutan sama, berkata kerajaan memandang serius insiden tersebut dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya orang ramai.

Beliau berkata emel tersebut dipercayai dihantar daripada alamat emel yang sama.

Antara ahli politik lain yang turut menerima emel itu termasuk Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Adun Kota Anggerik Najwan Halimi, Adun Seri Setia Fahmi Ngah, Adun Kulim Wong Chia Zen dan Senator Manolan Mohamad.

Malam tadi, Rafizi mendedahkan bahawa beliau turut menerima emel tersebut yang mengandungi tangkap layar video yang telah disunting.

Beliau berkata ugutan dan cubaan untuk memburukkan namanya dengan video palsu, berita palsu, dan penggodaman kemungkinan besar akan berterusan, sambil mengingatkan orang ramai supaya mengesahkan video, imej, atau emel luar biasa yang kononnya melibatkan dirinya.

Rafizi turut mengesyaki ia berkaitan dengan satu kes yang sedang disiasatnya, dengan mendedahkan bahawa beliau baru-baru ini bertemu dengan sekumpulan pemberi maklumat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.