Ahli politik, Tan Sri culas baharui cukai jalan kereta mewah RM35.7 juta

Ahli politik, Tan Sri culas baharui cukai jalan kereta mewah RM35.7 juta

Ia membabitkan 345 kereta Rolls-Royce, 372 Lamborghini, 660 Bentley, 675 Ferrari dan 4,308 Porsche.

Loke Siew Fook
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata ada pemilik sengaja tunggu kenderaan mewah mereka disita kerana anggap kompaun RM300 lebih murah daripada cukai jalan.
PUTRAJAYA:
Ahli politik, ahli perniagaan ternama dan pemilik kenderaan mewah bergelar Tan Sri antara yang culas memperbaharui cukai jalan dengan tunggakan mencecah RM35.7 juta.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan 345 kereta Rolls-Royce dengan tunggakan berjumlah RM6.4 juta, 372 Lamborghini (RM3.7 juta), 660 Bentley (RM7 juta), 675 Ferrari (RM4.7 juta) dan 4,308 Porsche (RM13.7 juta).

“Semua maklumat pemilik, jenis kenderaan dan tempoh cukai jalan yang tamat ada dalam sistem JPJ…saya tidak akan umumkan nama mereka kerana tidak mahu memalukan sesiapa,” katanya dalam sidang media di sini.

“Saya hanya mohon mereka menjalankan tanggungjawab memperbaharui cukai jalan. Jika kenderaan itu masih digunakan atas jalan raya, mereka wajib membayar lesen kenderaan motor (LKM) dan mempunyai insurans sah.”

Beliau berkata, JPJ sudah melancarkan Ops Luxury menyita kenderaan mewah tiada cukai jalan dan insurans sah.

Menurutnya, ada pemilik sengaja tunggu kenderaan disita kerana menganggap kompaun RM300 masih berbaloi berbanding cukai jalan yang perlu dibayar.

“Jika sikap ini berterusan, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih drastik dan saya memberi peringatan awal untuk mereka memperbaharui cukai jalan.

“JPJ sudah menyita lebih 400 kenderaan mewah dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Walaupun tidak semua kes disiarkan di media, operasi ini berjalan secara berterusan,” katanya sambil menambah jika kenderaan tidak digunakan lagi, pemilik boleh melupuskannya daripada sistem.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.