Parti bertanding PRN Melaka mesti ikrar tak terima ‘katak’, kata Bersih 2.0

Parti bertanding PRN Melaka mesti ikrar tak terima ‘katak’, kata Bersih 2.0

Ia turut mengemukakan apa yang digelarnya 'Cabaran Melaka' kepada semua parti bertanding, yang mana agendanya termasuk reformasi bagi menjamin kestabilan politik.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, ada kemungkinan saingan sengit berlaku pada PRN Melaka dengan pemenang mempunyai kelebihan kecil dari segi kerusi.
PETALING JAYA:
Badan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 menggesa parti politik yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini berikrar tidak menerima “katak” selepas pilihan raya itu.

“Ada kemungkinan ia akan jadi pilihan raya yang sengit dengan pemenang mempunyai kelebihan kecil dari segi kerusi. Kita tidak mahu sebarang (tindakan) lompat parti selepas pilihan raya.

“Kami menyeru semua pihak bertanding membuat ikrar antilompat parti bahawa mereka tidak akan terima ‘katak’ selepas pilihan raya,” kata Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann dalam sidang media maya.

Bersih 2.0 turut mengemukakan “Cabaran Melaka” kepada semua parti bertanding, yang agendanya termasuk reformasi perlu dilaksanakan di Melaka bagi menjamin kestabilan politik dan tidak menggalakkan tindakan melompat parti.

Ia menyeru enakmen digubal bagi mengawal tindakan melompat parti untuk menjamin akauntabiliti politik dan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau “pilihan raya semula” diadakan di negeri itu.

“Pilihan raya hagi memecat wakil rakyat itu akan membolehkan pengundi di Melaka membuat keputusan sama ada mengekalkan atau menyingkirkan wakil mereka yang melompat parti.”

Agenda lain yang dikemukakan Bersih menerusi “Cabaran Melaka” adalah:

  • Meminda Perlembagaan Negeri dan Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mewajibkan undi percaya pengesahan terhadap Ketua Menteri selepas pelantikan bagi memperkasakan keabsahan dan mengurangkan percubaan menjatuhkannya.
  • Meminda Perlembagaan Negeri dan Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN untuk memperkenalkan undi tidak percaya secara konstruktif yang menetapkan Ketua Menteri tidak dapat dijatuhkan kecuali dengan undi tidak percaya.
  • Menggubal sebuah Enakmen Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) untuk memastikan peruntukan diberikan secara sama rata dan saksama kepada semua wakil rakyat, sama ada kerajaan mahupun pembangkang.
  • Mereformasikan DUN untuk menjadikan ia benar-benar badan bebas daripada eksekutif melalui penubuhan jawatankuasa pilihan dengan komposisi jawatankuasa yang mencerminkan nisbah ADUN bukan Exco setiap parti di dalam DUN, dan memastikan penetapan agenda DUN ditentukan melalui perbincangan antara parti.

DUN Melaka dibubarkan 5 Okt lalu, selepas empat ADUN, iaitu Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu), menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.