Biar data tentukan rundingan kerusi Melaka, kata penganalisis

Biar data tentukan rundingan kerusi Melaka, kata penganalisis

Awang Azman Pawi berkata rundingan perlu berlandaskan keputusan pilihan raya lalu, bukannya emosi atau dominasi politik.

General BN and PH flags
Barisan Nasional dan Pakatan Harapan digesa memulakan rundingan agihan kerusi kerana PRN Melaka dijadualkan berlangsung tahun depan.
PETALING JAYA:
Penganalisis memberi amaran rundingan agihan kerusi PRN Melaka antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu berlandaskan data serta keadilan, bukannya dominasi politik atau emosi.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Umno patut bertanding di kerusi majoriti Melayu, manakala PH wajar diberikan kerusi campuran atau kawasan bandar.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

“Rundingan kerusi perlu berlandaskan data daripada kemenangan lalu, bukan dominasi politik atau emosi,” katanya kepada FMT.

Beliau memberi contoh Umno wajar bertanding di kerusi dimenangi Perikatan Nasional sebelum ini, khasnya di kawasan yang Umno dahului PKR.

Semalam, Shamsul Iskandar Akin yang juga setiausaha politik kanan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengingatkan pembahagian kerusi antara PH dan BN untuk PRN Melaka perlu dilakukan secara adil tanpa ada parti menuntut kerusi secara keterlaluan.

“Tidak boleh kata kerana kita kerajaan perpaduan, satu pihak mahu bertanding 26 daripada 28 kerusi. Prinsip asasnya ialah keadilan,” katanya kepada FMT.

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dilaporkan berkata, hanya kerusi DUN Bemban dan Sungai Udang boleh dirunding sekiranya BN serta PH bekerjasama pada PRN Melaka akan datang.

“Kalau tak setuju, kita lawan. PRN Melaka dulu pun tiga penjuru, walaupun ketika itu kerajaan pusat (BN dan PN) bersama pada 2021,” katanya sambil menambah parti yang menang berhak menentukan pembentukan kerajaan, termasuk pelantikan ketua menteri.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 kerusi, PH (5) dan PN (2). Ketua Menteri semasa ialah Ab Rauf Yusoh dari Umno.

DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada 26 Dis 2026.

Perlu konsisten

azmi hassan
Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kenyataan Akmal tidak boleh dianggap pendirian rasmi Umno dan perkara itu perlu dibincang lebih lanjut di peringkat negeri.

“Peraturan asas ialah parti pemerintah mengekalkan kerusi yang mereka menangi. Umno berhak mempertahankan kerusinya, tetapi ia tidak boleh tuntut bertanding 26 daripada 28 kerusi.”

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, kestabilan gabungan bergantung kepada konsistensi dan perbincangan dalaman, bukannya perbalahan terbuka.

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian.

“Rundingan sepatutnya membawa kemenangan buat semua pihak. Jika formulanya ialah setiap parti mengekalkan kerusi pernah dimenangi, ia perlu dilaksanakan secara konsisten di peringkat negeri dan persekutuan.”

Beliau memberi amaran penggunaan formula berbeza mengikut negeri boleh menyebabkan perpecahan lebih mendalam.

“Anda tidak boleh guna formula berbeza di peringkat berbeza hanya untuk memenuhi kepentingan tertentu. Jika ada formula, ia perlu bersifat menyeluruh dan diterima semua pihak. Jika tidak, setiap kerajaan negeri akan ada versi sendiri dan akhirnya semua pihak mula berebut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.