
Menzahirkan rasa dukacita yang mendalam berhubung kejadian tersebut, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) komited melaksanakan reformasi keselamatan dan kesejahteraan di semua institusi pendidikan bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Saya dan timbalan saya (Wong Kah Woh) mengambil tanggungjawab ini sepenuhnya memastikan tambah baik kepada aspek keselamatan di semua institusi bawah KPM.
“Reformasi keselamatan dan kesejahteraan sekolah selamat ini kita lakukan bersama-sama,” katanya menurut Bernama.
Fadhlina berkata, langkah penambahbaikan akan dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah berada pada tahap terbaik agar terus selamat dan sejahtera di sekolah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa serta komuniti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas sokongan berterusan kepada pihak sekolah dalam tempoh mencabar itu.
“Buat ibu bapa yang sentiasa menitipkan semangat dan sokongan, terima kasih yang tidak terhingga. Bantulah kami dengan apa cara sekalipun, demi anak-anak kita. Sokongan dan perhatian ibu bapa ketika ini amat penting untuk kami bina semula kekuatan dan roh sekolah ini,” katanya.
Antara insiden yang berlaku di sekolah baru-baru ini ialah seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 14 Okt dan suspek dalam kes itu, iaitu pelajar lelaki berusia 14 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Selain itu, pada 7 Okt seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di sebuah sekolah di Rembau, Negeri Sembilan, menjadi mangsa cabul oleh pengawal keselamatan wanita dan teman lelakinya, dan pelajar perempuan Tingkatan 3 di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, dirogol pelajar senior pada 2 Okt.