
Beliau berkata rundingan pembahagian kerusi tidak boleh dilengahkan memandangkan DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada 26 Dis 2026.
“Kita juga perlu bincang strategi besar sebagai satu gabungan,” katanya dalam temu bual dengan FMT.
Shamsul yang juga ketua PKR Melaka mengulas gesaan beberapa pemimpin DAP Melaka supaya hubungan dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh diteliti semula.
Pada Mei lalu, 15 cawangan DAP di Jasin meluluskan usul meminta kerajaan perpaduan tidak mencalonkan ahli politik yang dianggap membawa pendekatan ekstrem dalam pilihan raya negeri akan datang.
Mereka menyatakan sokongan kepada calon kerajaan perpaduan hanya jika tokoh itu tidak mempromosikan politik ekstrem.
Mengulas isu itu, Shamsul menegaskan PH dan BN perlu kekal utuh bagi mengekalkan keyakinan rakyat serta tidak memberi ruang kepada pembangkang untuk menyerang.
Katanya, Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam keadaan lemah, dengan pertelingkahan dalaman di Bersatu, serta antara Bersatu dan PAS.
“Apa juga pandangan terhadap kerajaan Madani, gabungan ini berjaya menunjukkan prestasi dan hasil yang jelas kepada rakyat. Sentimen positif itu sedang dirasai orang ramai,” katanya.
Beliau meminta pemimpin DAP dan Umno menyelesaikan perbezaan secara dalaman dan terus menunjukkan kerjasama kepada rakyat.
Dalam masa yang sama, Shamsul mengingatkan pembahagian kerusi perlu dilakukan secara adil tanpa ada parti menuntut kerusi secara keterlaluan.
“Tidak boleh kata kerana kita kerajaan perpaduan, satu pihak mahu bertanding 26 daripada 28 kerusi. Prinsip asasnya ialah keadilan,” katanya.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Pada pilihan raya negeri 2021, BN memenangi 21 kerusi, PH mendapat lima dan PN dua kerusi.
Seorang Adun Umno kemudiannya menyertai PAS, sebelum undang-undang anti-lompat kuasa negeri berkuat kuasa.