
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah berkata, keputusan Amanah bertanding di DUN Sulabayan bawah Parlimen Semporna yang dikuasai Presiden Warisan, Shafie Apdal, untuk mengembangkan pengaruh dalam landskap politik Sabah melalui Pakatan Harapan (PH).
“Keputusan bertanding di kubu kuat Warisan satu langkah berani dan Amanah mungkin sudah bersedia untuk menerima apa jua keputusan pengundi di Sulabayan.
“Jika menang, ia kejayaan besar bagi Amanah. Jika kalah, ia satu percubaan dan proses menguatkan, promosi Amanah dalam kalangan rakyat Sabah,” katanya kepada FMT.
Tetapi, beliau berpendapat agak sukar untuk Amanah menang di Sabah pada PRN kali ini, melainkan memberikan tawaran lebih menarik daripada parti lain yang sesuai dengan kehendak rakyat negeri itu.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah yang senada berkata, penyandang kerusi Sulabayan, Jaujan Sambakong mempunyai kelebihan, walaupun calon Amanah, Mohd Julpikar Ab Mijan dilihat aktif bergiat dalam NGO, termasuk memberi ceramah agama kepada penduduk.
“Beliau (Julpikar) mempunyai hubungan keluarga dengan Datuk Jaujan dan dikenali melalui aktiviti dakwah serta ceramah agama. Selain itu, beliau juga aktif menerusi sebuah NGO berfokus kepada pengurusan pusat tahfiz.
“Begitupun, Jaujan merupakan ahli politik berpengalaman dan berpengaruh kuat di Sulabayan.
“Sekiranya kita tengok keahlian Amanah dengan Warisan, nampak pemberat memihak kepada Warisan. Bermakna Warisan mempunyai kelebihan dari segi logistik dan jentera pilihan raya, selain faktor pengaruh Shafie di Semporna.”
Beliau menjangkakan berlaku perpecahan undi di Sulabayan kerana PAS mungkin bertanding mewakili Perikatan Nasional yang akan menyukarkan lagi usaha Amanah menawan kerusi itu.
Isnin lalu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengumumkan Julpikar yang juga pengasas pusat tahfiz dan aktivis sosial dari Semporna akan mewakili PH bertanding di kerusi Sulabayan.
Pada PRN Sabah lalu, Jaujan yang juga naib presiden Warisan mempertahankan kerusi Sulabayan selepas menewaskan calon Barisan Nasional dan Parti Cinta Sabah dengan majoriti 3,245 undi.