Mahkamah tolak pengangkatan anak oleh bapa tiri

Mahkamah tolak pengangkatan anak oleh bapa tiri

Bapa kandung yang terpisah tidak boleh dikatakan mengabaikan anak-anak kerana dia tidak mempunyai tanggungjawab jagaan pertama ke atas mereka, kata hakim.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Hok Chong berkata, menyerahkan seorang anak untuk dijadikan anak angkat adalah perkara serius dengan akibat yang meluas dan kekal. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang menolak permohonan memansuhkan hak seorang bapa untuk tidak mengizinkan anak-anaknya dijadikan anak angkat atas alasan dia mengabaikan mereka setelah bercerai dengan isterinya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Hok Chong berkata istilah “abai” dalam Akta Pengangkatan membawa maksud lebih luas daripada sekadar bapa yang “kekurangan” (inadequate).

“Pengabaian bermaksud, ibu/bapa, yang mempunyai tanggungjawab jagaan pertama, tidak menyediakan keperluan anak-anak, sama ada secara langsung atau melalui penjaga,” katanya ketika menolak rayuan pasangan Haneshpal Singh Saini and S Gayatri.

N Vijayagopal dan Gayatri, ibu bapa kandung kepada dua anak, bercerai pada 2016, dan Gayathri diberi hak penjagaan anak-anak tersebut yang kini berusia 10 dan 11 tahun.

Pada 2019, Gayathri mengahwini Haneshpal, yang kini ingin mengambil anak-anak itu sebagai anak angkat.

Gayatri mendakwa Haneshpal memainkan peranan sebagai bapa kepada anak-anaknya sejak awal perhubungan mereka, manakala Vijayagopal mengabaikan anak-anak sejak mereka berpisah.

Dakwanya, Vijayagopal jarang mengunjungi anak-anak mereka walaupun mahkamah membenarkan akses yang wajar buatnya susulan perintah mahkamah pada 2017.

Haneshpal memfailkan dua permohonan di Mahkamah Sesyen untuk menjadikan anak-anak itu sebagai anak angkat dan salah satu syaratnya adalah mesti mendapat keizinan Vijayagopal.

Oleh sebab Vijayagopal enggan, pasangan tersebut memfailkan permohonan perintah lain bagi menggugurkan haknya untuk memberi keizinan.

Dalam penghakiman bertulisnya, Wong berkata, keizinan ibu bapa untuk anak-anak mereka dijadikan anak angkat mesti diperoleh seperti yang termaktub dalam Seksyen 6(a) Akta Pengangkatan 1952.

“Menyerahkan seorang anak untuk dijadikan anak angkat adalah perkara serius dengan akibat yang meluas dan kekal.

“Hubungan ibu bapa dengan anak, keturunan, hak penjagaan dan semua hak sebagai ibu bapa terhapus dan dipikul oleh ibu bapa angkat,” katanya.

Wong berkata, anak-anak itu tinggal bersama Gayatri dan Haneshpal dan dijaga dengan baik.

Katanya, dakwaan Gayatri dan Haneshpal bahawa Vijayagopal gagal mengunjungi anak-anaknya dengan kerap dan mengikuti perkembangan kesejahteraan mereka sama maksudnya dengan “pengabaian”.

Bagaimanapun, walaupun Haneshpal mungkin seorang bapa tiri yang baik, Vijayagopal tidak mendapat akses kepada anak-anaknya kerana Gayathri didakwa menggagalkan usahanya untuk berjumpa sehingga dia putus asa.

“Vijayagopal tidak boleh dikatakan mengabaikan anak-anaknya kerana dia tidak menjaga mereka.

“Saya tidak melihat keengganan Vijayagopal memberi keizinan boleh dikatakan tidak wajar dari segi kebajikan anak-anak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.