Editor Sarawak Report tak hadir pertuduhan, mahkamah keluar waran tangkap

Editor Sarawak Report tak hadir pertuduhan, mahkamah keluar waran tangkap

Clare Rewcastle-Brown sepatutnya didakwa hari ini atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Clare Rewcastle-Brown sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 23 November.
KUALA TERENGGANU:
Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown kerana gagal hadir pada pertuduhan berkaitan kes memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Majistret Nordiana Abd Aziz mengeluarkan perintah itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh, yang berumur 62 tahun.

Nordiana kemudian menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.

Rewcastle-Brown dijadual dituduh hari ini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku “The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.