
Tertuduh, Teoh Siew Li, 35, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan meludah seorang anggota polis, Jelnazir Helman, berpangkat lans koperal dengan niat menghalang penjawat awam itu daripada menjalankan tugas di Jalan Perusahaan 2, Taman Bandar Baru Mergong, pada 12 tengah hari, 31 Dis.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata mengaibkan serta menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis sama di lokasi dan tarikh sama. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa sengaja melukakan perasaan penganut agama Islam dengan mengeluarkan kata-kata menghina agama itu, yang didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding berkenaan, Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Khairul Anuar Abdul Halim, mencadangkan jaminan tinggi RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Beliau memaklumkan tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Taiping, selain terdapat lebih 500 hantaran media sosial yang didakwa menimbulkan kegusaran kaum dan agama berkaitan pertuduhan ketiga.
Namun, tertuduh dalam rayuannya memohon kepada mahkamah agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan menyara ibu, adik serta adik iparnya.
Dia turut memaklumkan mempunyai pendapatan sehingga RM20,000 sebulan dan merupakan lulusan undang-undang sebuah kolej swasta.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.