Wang, pengaruh jadikan perkhidmatan awam ‘bank undi’ bagi BN, kata penganalisis

Wang, pengaruh jadikan perkhidmatan awam ‘bank undi’ bagi BN, kata penganalisis

BN 'mengaburkan batasan' antara parti pemerintah dan kerajaan, menurut penganalisis.

Perkhidmatan awam telah berkembang menjadi sektor pilihan raya penting yang ‘tidak boleh diabaikan oleh ahli politik atau parti yang serius’, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan kenaikan pencen dan “pembasuhan otak” untuk menjadikan sektor perkhidmatan awam yang besar sebagai “bank undi” bagi gabungan pemerintah ketika itu, kata dua penganalisis politik.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, BN telah “mengaburkan batasan” antara parti pemerintah dan kerajaan.

“Jadi jika penjawat awam tidak sokong parti pemerintah, sama seperti tidak menyokong majikan mereka,” katanya kepada FMT.

Oh Ei Sun.

Kaedah “bersifat persuasif dan intimidasi” seperti itu digunakan oleh Biro Tata Negara (BTN) yang kini tidak lagi berfungsi, kata Oh.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan berkata, kenaikan gaji tahunan bagi penjawat awam, walaupun ketika itu “bukan sesuatu yang boleh dicanangkan” berbanding bonus di syarikat swasta, juga memastikan mereka terus menyokong kerajaan.

Kerajaan turut menjamin sokongan dengan mengekalkan manfaat yang dinikmati pegawai dalam perkhidmatan awam.

“Jadi apabila mereka sokong kerajaan, kerajaan akan balas sokongan mereka,” katanya.

Hakikat bahawa BN tidak pernah menyifatkan perkhidmatan awam sebagai “terlalu penuh” turut membantu, berbanding keluhan Dr Mahathir Mohamad dua tahun lepas bahawa sektor berkenaan boleh dikecilkan.

“Ini sesuatu yang tidak disenangi penjawat awam kerana mereka rasa mereka membuat pengorbanan memandangkan pendapatan mereka tidak setinggi pekerja dalam sektor swasta,” kata Azmi.

Azmi Hassan.

Oh dan Azmi mengulas dakwaan seorang bekas diplomat bahawa kemerosotan dalam perkhidmatan awam bermula ketika kali pertama Mahathir menjadi Perdana Menteri (1981-2003) dan sejak itu, sektor ini menjadi terlalu penuh dan semakin korup.

Bekas diplomat, Dennis Ignatius, baru-baru ini mendakwa dalam bukunya, Mahathir menginginkan birokrasi yang lebih akur dan “sedia melakukan arahannya” dan ahli politik teragak-agak untuk bersemuka dengan birokrasi ini kerana ia mewakili bank undi yang penting.

Oh bersetuju, dengan berkata, perkhidmatan awam telah berkembang menjadi sektor pilihan raya penting yang “tidak boleh diabaikan oleh ahli politik atau parti yang serius”.

Azmi berkata, walaupun “selamat untuk dikatakan” bahawa penjawat awam akan menyokong kerajaan semasa era Mahathir, hal ini sukar dijamin hari ini kerana “mereka boleh, malah telah membuktikan mereka akan mengundi pembangkang”.

Bekas pemimpin kesatuan sekerja, P Arunasalam berkata, penjawat awam juga sedar bahawa mereka mewakili bank undi penting yang menimbulkan kecurigaan mengenai kewujudan “deep state” di Malaysia, seperti yang didakwa Menteri Luar Saifuddin Abdullah, ketika beliau bertugas bawah portfolio sama semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Ahli politik datang dan pergi tetapi birokrasi terus berfungsi. Oleh itu, kerajaan semasa tidak berani mendesak birokrasi kerana takut mendapat balasan ketika pilihan raya,” kata Arunasalam.

Tambahnya, perkhidmatan awam perlu lebih bersifat berbilang kaum supaya ia dapat bebas daripada pengaruh politik, seperti ketika era sebelum Mahathir.

Katanya, kerajaan mempunyai kelebihan untuk menjamin undi penjawat awam dengan menjanjikan rezeki yang lebih baik, walaupun ada antara janji yang tidak ditepati.

“Malangnya, penjawat awam percaya dengan janji-janji kosong seperti itu.”

Arunalasam turut mengeluh bahawa bahawa perbelanjaan bagi perkhidmatan awam memakan sebahagian besar daripada belanjawan negara.

“Kerajaan harus melihat ini dengan serius. Ia harus memutuskan sama ada ‘bank undi’ atau pembangunan negara melalui belanjawan yang lebih kukuh yang lebih penting,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.