Bersatu tak akan ‘mati’ seperti Semangat 46, kata penganalisis

Bersatu tak akan ‘mati’ seperti Semangat 46, kata penganalisis

Mazlan Ali berkata Bersatu hanya akan dibubarkan jika parti itu kalah besar pada PRU16 akibat pertelingkahan dalaman.

Hamzah Zainudin Muhyiddin Yassin
Bersatu tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat kerana Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin masih memerlukan parti itu untuk teruskan perjuangan.
PETALING JAYA:
Bersatu yang sedang berdepan pertelingkahan dalaman tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat dengan ahlinya kembali kepada Umno seperti Parti Semangat 46, kata penganalisis.

Mazlan Ali berkata perkara itu hanya akan terjadi jika Bersatu kalah teruk pada PRU16 akibat krisis yang didakwa berlaku disebabkan pertembungan penyokong dua kem iaitu Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalan Hamzah Zainudin.

Menurut ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, situasi Bersatu dengan Semangat 46 ketika hendak dibubarkan adalah berbeza.

“Semangat 46 kembali ke Umno selepas gagal dalam dua pilihan raya umum, Bersatu pula masih bertahan walaupun berdepan isu dalaman.

“Ia mungkin berlaku jika Bersatu kalah teruk pada pilihan raya akan datang atau hubungan dengan PAS retak, sama seperti berlaku antara Semangat 46 dan PAS dahulu,” katanya kepada FMT.

“Sejarah menunjukkan pemimpin pernah ‘membakar jambatan’ dengan Umno seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim akhirnya kembali ke parti itu, itu tak mustahil (babit Bersatu) cuma bukan sekarang.”

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi berharap kemelut dalaman Bersatu berakhir dengan pembubaran parti itu seperti, sekali gus membuka jalan kepada ahlinya kembali ke pangkuan Umno seperti berlaku kepada Semangat 46.

Parti itu ditubuhkan pada 1988 selepas kekalahan Tengku Razaleigh kepada Dr Mahathir Mohamad dalam pertembungan jawatan presiden Umno.

Bagaimanapun, Semangat 46 dibubarkan dan pemimpin serta ahlinya kembali menyertai Umno, selepas kalah pada pilihan raya umum 1990 serta 1995.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyifatkan saranan Puad sebagai strategi untuk mengukuhkan kedudukan Umno, namun ia sukar diterjemahkan kerana hubungan antara kedua-dua parti masih tegang.

“Pelawaan ini tidak akan disambut oleh akar umbi Bersatu atau kepimpinan mereka. Umno adalah seteru utama Bersatu dan begitu juga sebaliknya.

“Muhyiddin dan Hamzah juga masih memerlukan Bersatu serta satu sama lain, parti itu masih boleh diselamatkan melalui kompromi,” katanya

Bersatu berdepan kemelut dalaman yang semakin memuncak susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti.

Lembaga disiplin parti turut menyingkirkan empat ketua bahagian iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang).

Tindakan tersebut menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ahli, mendorong 16 Ahli Parlimen Bersatu mengutus surat bertarikh 23 Okt mendesak Muhyiddin menangani ‘isu dalaman’ bagi mengelakkan parti ‘menjadi mangsa ego mana-mana pemimpin’.

Kelmarin, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara bersetuju menghentikan sebarang kemelut dalaman demi mengukuhkan perpaduan dalam parti menjelang PRN Sabah 29 Nov depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.