Ambulans bertembung treler, pembantu pegawai perubatan maut, pemandu parah

Ambulans bertembung treler, pembantu pegawai perubatan maut, pemandu parah

Mangsa yang maut dikenali sebagai Aidil Hamidun, 27, manakala yang parah pula ialah Othman Ghafan, 50.

Menurut bomba, berlaku kebakaran kecil di bahagian hadapan ambulans Kementerian Kesihatan dan api berjaya dipadamkan orang awam di tempat kejadian menggunakan alat pemadam api. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu pegawai perubatan maut manakala pemandu ambulans parah selepas kenderaan yang mereka dinaiki bertembung dengan treler dalam kejadian di Kluang, Johor, malam semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Aidil Hamidun, 27, manakala yang parah pula ialah Othman Ghafan, 50.

Kejadian kira-kira jam 8 malam di Jalan Ayer Hitam Batu 49, Simpang Renggam itu dipercayai berlaku ketika ambulans terbabit dalam perjalanan membawa pesakit dari Machap ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Kemalangan turut menyebabkan dua pesakit wanita yang belum dikenal pasti identiti dan pesakit lelaki dikenali sebagai Sukiman Hassan, 59, mengalami kecederaan sementara pemandu treler berusia 35 tahun dilaporkan selamat.

Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Razali, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang tiba di lokasi turut mendapati berlaku kebakaran kecil di bahagian hadapan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) itu.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian membantu memadamkan kebakaran itu menggunakan alat pemadam api,” katanya menurut Harian Metro.

Rahim berkata, semua mangsa berjaya dikeluarkan dan mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar HEBHK untuk rawatan lanjut.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.24 malam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.