Ambulans Kita Selangor tawar perkhidmatan mobiliti kesihatan percuma

Ambulans Kita Selangor tawar perkhidmatan mobiliti kesihatan percuma

Pesakit akan menikmati perkhidmatan ambulans percuma satu dan dua hala dari rumah ke fasiliti kesihatan awam sekali gus bantu golongan kurang mampu.

AMIRUDIN SHARI
Menteri Besar Amirudin Shari melancarkan Ambulans Kita Selangor di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Ambulans Kita Selangor (AKS) iaitu inisiatif perkhidmatan mobiliti kesihatan secara percuma kepada penduduk bawah pentadbiran lima pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata sebanyak 48 ambulans disediakan dengan peruntukan RM1 juta bagi memastikan perkhidmatan dan akses kepada rawatan kecemasan lebih cepat dan mudah kepada golongan sasar itu dilaksanakan.

Beliau berkata, pelaksanaan program sebagai sebahagian usaha intervensi kerajaan negeri mengatasi isu kelewatan ketibaan ambulans di lokasi kecemasan, dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan St John Ambulans Malaysia (SJAM) Selangor yang berperanan sebagai rakan pelaksana utama.

“Sebagai permulaan, program AKS akan dilaksanakan di tiga daerah iaitu Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor melibatkan enam PBT serta 26 kawasan DUN bermula dari Ijok hingga ke Sungai Pelek.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan perkhidmatan mobiliti kesihatan sampai dengan cepat kepada rakyat dengan kualiti servis terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif AKS di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang turut dihadiri Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.

Lima kawasan PBT terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Amirudin berkata, melalui inisiatif AKS, pesakit akan menikmati perkhidmatan ambulans percuma satu dan dua hala dari rumah ke fasiliti kesihatan awam, sekali gus membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendapatkan pengangkutan ke hospital kerajaan bagi rawatan susulan atau janji temu tanpa kos.

Beliau berkata, perkhidmatan AKS disediakan khusus untuk golongan sasar dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM5,000 sebulan dan pesakit yang memerlukan bantuan sokongan seperti bekalan oksigen ketika perjalanan ke fasiliti kesihatan atau pesakit terlantar.

“Selain membantu mengurangkan beban tugas petugas fasiliti kesihatan awam, inisiatif AKS juga mampu menjimatkan dan mengurangkan beban golongan sasar, kerana jika mengambil perkhidmatan swasta, kos bagi perkhidmatan ambulan adalah antara RM350 hingga RM600,” katanya.

Amirudin berkata, tempoh percubaan pelaksanaan bagi 48 ambulans itu ditetapkan sehingga November tahun hadapan, sebelum kerajaan negeri memutuskan keperluan mempertimbangkan untuk meluaskan inisiatif ini di enam daerah lain selepas itu.

Sebelum ini, Amirudin ketika mengumumkan inisiatif itu semasa membentangkan Belanjawan Selangor tahun lalu dilaporkan berkata komitmen untuk menyediakan perkhidmatan tersebut merupakan antara satu ikhtiar dalam 5 Tekad 5 Tahun, sewaktu menghadapi PRN pada 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.